Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 28 MEI 2026 : Sebanyak 40 ekor lembu dikorbankan dalam Majlis Ibadah Korban Perdana Peringkat Negeri Pahang 1447 Hijrah/2026 Masihi di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Tanjung Gahai di sini hari ini, sekali gus menjadi antara program korban terbesar dianjurkan di negeri ini tahun ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program melibatkan 14 kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai itu turut mengagihkan daging korban kepada kira-kira 3,000 penduduk sekitarnya.
Katanya, penganjuran program berkenaan membuktikan semangat ukhuwah dan kerjasama dalam kalangan rakyat negeri ini masih kukuh serta perlu terus diperkasakan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada EZ Qurban, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP), YH Tok Muda Dato’ Haji Ahma Khirrizal Haji Ab. Rahman dan semua agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
“Dan ini adalah semangat ukhuwah silaturrahim sesama kita yang mana harus kita pupukkan usaha-usaha sebegini untuk mengeratkan hubungan sesama kita.
“Dan di hari ini melibatkan 14 buah kampung di dalam DUN Jelai di mana kita laksanakan secara gotong-royong, sebanyak 40 ekor lembu kita korbankan dan kita telah mengagih kepada seramai 3,000 orang.
“Alhamdulillah, semua program berjalan lancar, siap awal daripada yang ditetapkan dan ini menunjukkan bahawa semangat gotong-royong masih subur dalam kalangan masyarakat kita,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis berkenaan di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor; serta barisan ketua-ketua jabatan.
Dalam pada itu, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri turut menyalurkan sumbangan kepada 370 pelajar Pahang yang sedang menuntut di Mesir bagi membolehkan mereka melaksanakan ibadah korban di negara berkenaan.
“Saya telah minta YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim selaku Exco yang bertanggungjawab untuk menguruskan perkara ini dan semua telah pun diuruskan. Saya rasa dalam masa terdekat mereka akan mendapat peruntukan,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

