Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 29 MEI 2026 : Rakyat negeri ini dijemput untuk hadir beramai-ramai ke Majlis Pelancaran Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st bertempat di Stadium Darul Makmur, di sini pada 6 Jun ini.
Majlis pelancaran yang akan bermula jam 8 malam itu akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, pelbagai acara menarik disediakan sepanjang program tersebut bagi memeriahkan lagi suasana pelancaran liga berkenaan.
Menurut beliau, antara tarikan utama ialah sesi ‘meet and greet’ bersama bekas pemain bola sepak Pahang selain perlawanan pertunjukan membabitkan legenda Pahang menentang legenda Selangor.
Katanya, perlawanan itu pastinya mengimbau kembali kegemilangan bola sepak Pahang sekitar era 1990-an yang pernah mencetuskan fenomena dalam kalangan penyokong Tok Gajah.
“Saya nak mengajak seluruh rakyat Pahang untuk hadir beramai-ramai ke pelancaran Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st merebut Piala Al-Sultan Abdullah di Stadium Darul Makmur Kuantan pada 6 Jun ini jam 8 malam.
“InsyaAllah pelbagai acara menarik akan berlangsung pada hari tersebut. Antaranya adalah sesi ‘meet and greet’ bersama dengan bekas-bekas pemain Pahang. Perlawanan pertunjukan bola sepak legenda Pahang bertemu dengan lagenda Selangor, perlawanan yang pastinya ditunggu-tunggu nak mengembalikan kegemilangan bola sepak Pahang tahun 1990an.
“Selain daripada itu, ada persembahan khas daripada artis-artis jemputan antaranya ialah Zaki Yamani,” katanya.
Tambahnya, pelagai hadiah cabutan bertuah turut disediakan kepada pengunjung yang hadir termasuk tiga buah motosikal.
Liga Bola Sepak Rakyat Pahang merupakan liga tempatan julung kali dianjurkan di negeri ini dan dijangka menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu bola sepak akar umbi selain menghidupkan kembali semangat bola sepak rakyat di Pahang. -PAHANGMEDIA

