Oleh : Ain Nadhirah Basha & Safiah Hanani Norhalizan
ROMPIN, 26 FEBRUARI 2025 : Kompleks Ladang Ayam Pedaging Felcra Berhad dapat menyumbang kepada peningkatan pengeluaran domestik serta memastikan kestabilan bekalan makanan negara.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB. Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, kompleks ini juga dapat mengukuhkan lagi agenda keterjaminan makanan negara.
“Saya yakin, tersedianya kompleks ternakan ayam berskala besar ini menyumbang kepada
peningkatan pengeluaran domestik, sekaligus memastikan kestabilan bekalan makanan negara.
“Oleh kerana kompleks ini akan mengeluarkan kira-kira 1.5 juta ayam pedaging setiap tahun, ini tentunya akan dapat membantu keterjaminan makanan terutamanya dari segi bekalan ayam pedaging. Dia keutamaan pasaran di Pahang tapi kita juga pasarkan di luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kompleks Ladang Ternakan Ayam Pedaging (Sistem Tertutup) FELCRA Berhad di Tanjung Seratus, Kuala Rompin.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; Pengerusi FELCRA Berhad, YBhg. Dato’ Sri Ahmad Jazlan Yaakub; dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.
Beliau dalam majlis berkenaan turut melahirkan harapan agar kompleks ternakan ayam ini dapat menghasilkan limpahan rezeki dan bermanfaat kepada semua pihak.
“Biarlah kompleks ternakan ayam ini berperanan seperti sungai yang mengalir ke sawah, membawa air yang menghidupkan tanaman dan menghasilkan limpahan rezeki.
“Begitu juga, pengurusan kompleks yang efektif bakal menyuburkan manfaat dan kemakmuran untuk semua lapisan masyarakat, dari penduduk setempat hinggalah ke peringkat nasional,” katanya.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang yang memudahkan proses bagi pembinaan kompleks ayam daging yang disifatkan wajar menjadi contoh kepada kepada organisasi kerajaan.
“Saya dari pihak KKDW dan bagi pihak FELCRA ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada YAB Dato’ Sri Diraja Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri terutamanya SS dan Exco yang telah turut mempermudahkan pada bukan hanya kelulusan tanah tetapi kelulusan di peringkat Pejabat Daerah dan juga Pihak PBT di atas kelulusan yang telah diberikan bagi kompleks ayam daging FELCRA ini.
“Dan tentunya langkah-langkah seperti ini adalah menjadi contoh kepada timelime atau jeda waktu yang telah ditentukan untuk organisasi Kerajaan terutamanya di bawah KKDW dan FELCRA, dan kita mengharapkan agar banyak lagi kawasan-kawasan akan diluluskan,” katanya.
Kompleks seluas 50 ekar yang dibangunkan dibawah peruntukan geran berjumlah RM60 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ini telah beroperasi sepenuhnya pada Februari tahun ini dengan 10 buah reban ternakan yang setiap satu dapat menampung 30,000 ekor ayam dalam setiap pusingan.
Sistem ternakan ayam secara tertutup ini menggabungkan teknologi moden dan amalan penternakan baik yang membolehkan ayam mencapai berat ideal dalam tempoh antara 28 hingga 30 hari iaitu lebih cepat berbanding sistem terbuka yang turut menggunakan sistem kawalan suhu dan kelembapan yang canggih akan memastikan kesihatan dan kesejahteraan ayam terjaga, sekaligus mengurangkan risiko penyakit. -PAHANGMEDIA

