Oleh: Norhafizan Zulkifli
BENTONG, 20 FEBRUARI 2025: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli menyantuni mangsa banjir di Karak, hari ini.
Paduka Baginda turut mengurniakan sumbangan kepada 49 ketua isi keluarga terdiri dari 150 orang mangsa yang terjejas dari Kampung Karak Setia dan Perumahan PR1MA Karak.
Paduka Baginda dalam titah mengingatkan kepada semua mangsa agar tidak berduka dengan kejadian yang menimpa sebaliknya harus menerimanya dengan ikhlas dan menganggapnya sebagai satu rahmat.

“Pahang ini memang kita bersyukur kerana kita telah mempunyai jentera kerajaan yang sentiasa peka dengan masalah banjir. Daripada pihak saya, istana, Tengku Mahkota, Menteri Besar memang sentiasa berada untuk beri bantuan dari segala aspek.
“Saya menganggap ini satu rahmat untuk kita kenal pasti kekurangan yang ada di kawasan ini. Antaranya adalah sungai yang ada begitu cetek… tadi kita dengar pegawai daerah cakap untuk tinggikan ban di sungai Bentong dan akan ada projek tebatan banjir difahamkan RM300 juta. Ini semua satu rahmat secara tidak langsung,” titah Paduka Baginda ketika berkenan berangkat bercemar duli menziarah mangsa banjir di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak Setia, di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda disambut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.

Paduka Baginda dalam masa sama turut mengingatkan kepada penghuni yang berhadapan dengan banjir untuk sentiasa bersabar dan mengutamakan keselamat masing-masing.
“Saya harap penghuni yang berhadapan dengan banjir harap bersabar dan terus mendengar nasihat-nasihat pegawai yang bertanggungjawab. Bila kena berpindah elok lah berpindah. Utamakan nyawa kita, anak kita, ibu bapa kita,” titah Baginda lagi.
Al-Sultan Abdullah dalam pada itu turut bertitah untuk perlunya mengambil inisiatif sendiri dengan mendalamkan sungai-sungai yang terdapat di negeri ini.
“Kita perlu semua.. itu tebatan banjir atau apa-apa projek atau program untuk mengurangkan kesanan daripada banjir besar namun inisiatif sendiri kena buat juga.
“Dalam pada itu saya juga masih menyatakan lagi rumah-rumah tepi sungai juga perlu ditinggikan juga… rumah-rumah biarlah berkaki. Fenomena cuaca agak berlainan sekarang, keadaan sungai pun berlainan juga. Tak boleh nak baca pada masa akan datang,” titah Paduka Baginda. -PAHANGMEDIA.

