Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 19 FEBRUARI 2025: Kerajaan Negeri akan memberi pertimbangaan kepada Pertubuhan Ladang Negeri Pahang (PASFA) sekiranya mereka mempunyai permohonan untuk membuka ladang kelapa di negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia berikutan permintaan terhadap kelapa kini semakin meningkat.
“InsyaAllah kita akan bagi pertimbangan. Kelapa memang ada permintaan,” katanya kepada media ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Dividen Ladang Usahasama Integrasi Lembu dan Sawit Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Bukit Gayong kepada peserta E-Kasih bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Jemaah Pengarah PASFA, YH. Dato’ Haji Zamri Yaakob, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan ketua-ketua jabatan.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, tidak hanya itu, malah Kerajaan Negeri juga turut akan mempertimbangkan permohonan-permohonan lain daripada PASFA.
“Setahu saya, PASFA ini tidak pernah gagal memberi dividen kepada peserta-pesertanya daripada dulu lagi dan saya juga ucapkan syabas dan tahniah kerana telah menggunakan sumber yang ada, tanah-tanah yang ada yang diberikan oleh Kerajaan Negeri untuk penanaman apa sahaja.
“Saya dapati mereka boleh laksanakan dengan jayanya. Nanasnya… begitu juga dengan penternakan lembu, sawit apatah lagi dan macam-macam lagi.
“Sebab itu sekiranya ada permohonan daripada PASFA, Kerajaan Negeri akan memberi pertimbangan yang sehabis baik. Kerana faedahnya akan dinikmati kepada ramai orang, ia bukannya berbentuk kepada individu,” katanya lagi.
Dalam pada itu seramai 500 peserta E-Kasih menerima dividen Ladang Usahasama Integrasi Lembu dan Sawit PPRT Bukit Gayong berjumlah RM1,561 setap seorang membabitkan jumlah keseluruhan sebayak RM780,518. -PAHANGMEDIA

