Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 20 FEBRUARI 2025 : “Seronok, suka sangatlah, alhamdulillah sudi datang rumah wan ni,” kongsi Puan Hasnah Mat Ali yang merupakan ibu kepada salah sorang penerima sumbangan daripada YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.
Puan Hasnah, 81, yang membahasakan dirinya sebagai wan kelihatan sebak ketika melahirkan penghargaan kepada YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob yang melawat dan menyampaikan bantuan kepada anaknya Hassanudin Ahmad @ Amzah, 63, yang mengalami sawan sejak kecil.

“Rasa gembira, syukurlah. Rasa segan juga orang besar-besar naik rumah wan yang tak seberapa ni, rumah kampung. Terkejut jugalah wan sebab orang besar naik rumah wan. Banyak-banyak terima kasih semua-semua (yang datang).
“Anak wan ni kena demam panas, sawan waktu umur dia setahun enam bulan, jadi wan yang urus dia. Wan rasa suka sangatlah dapat jumpa orang besar hari ni, biasa jumpa Menteri Besar je sebab dia orang kampung ni,” katanya yang menetap di Kampung Tanjung Gahai.
Sementara itu, menurut Muhammad Rafzan Abdul Rahman, 33, yang menggunakan kerusi roda akibat kecederaan saraf tunjang dan ketumbuhan di bahagian belakang badan sejak kecil melahirkan rasa gembira di atas kunjungan berkenaan.

“Rasa gembira dan saya ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyaklah atas sumbangan yang disampaikan,” katanya.
Program Sentuhan Rakyat Makmur Negeri Pahang (PSRM) ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pahang yang melibatkan penjawat awam Negeri dan Persekutuan dalam menyantuni rakyat melalui pemberian bantuan dan memberi pendedahan kepada rakyat mengenai bantuan yang disediakan oleh kerajaan.
Antara objektif penganjuran program ini adalah untuk membantu menyelesaikan segala isu dan masalah berbangkit yang dihadapi oleh rakyat, meningkatkan penglibatan penjawat awam turun padang bertemu masyarakat, serta bertindak sebagai ejen penyampai maklumat dan inisiatif-inisiatif yang telah dijalankan oleh kerajaan.
Ia juga bagi merapatkan jurang di antara penjawat awam dan rakyat dan meningkatkan imej kerajaan yang prihatin dan berkebajikan melalui pengisian program seperti aktiviti ziarah makmur, lawatan ke Projek Sejati Madani, lawatan muhibah ke penerima skim i-PUSH dan sesi townhall berserta reruai daripada jabatan-jabatan yang terlibat.
Turut terlibat di dalam program di Lipis yang merupakan daerah kedua bagi jelajah ini adalah YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim; dan ketua-ketua jabatan. -PAHANGMEDIA

