Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM3.95 juta menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 bagi memperkukuh pembangunan sektor perikanan mampan, termasuk usaha memulihara baka ikan asli bernilai tinggi di Sungai Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan yang disalurkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Pahang itu merangkumi pembangunan perikanan darat, pengembangan akuakultur, pengurusan sumber perikanan marin serta konservasi spesies ikan tempatan.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2.2 juta diperuntukkan bagi pembangunan kualiti perikanan darat, manakala RM1.2 juta disediakan untuk pengembangan akuakultur di negeri ini.
“Bagi memperkukuh sektor perikanan mampan, 3.95 juta ringgit diperuntukkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Pahang, meliputi pembangunan kualiti perikanan darat sebanyak 2.2 juta ringgit, pengembangan akuakultur 1.2 juta ringgit.
“Pengurusan sumber perikanan marin 300 ribu ringgit serta konservasi baka ikan asli bernilai tinggi di Sungai Pahang sebanyak 250 ribu ringgit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Selain pembangunan perikanan darat dan akuakultur, Kerajaan Negeri turut menyediakan RM300,000 bagi pengurusan sumber perikanan marin serta RM250,000 khusus untuk usaha konservasi baka ikan asli bernilai tinggi di Sungai Pahang.
Inisiatif konservasi berkenaan memberi tumpuan kepada pemeliharaan sumber perikanan tempatan sebagai sebahagian daripada usaha memastikan kelestarian biodiversiti sungai dan sumber perikanan negeri.
Peruntukan RM3.95 juta itu merupakan sebahagian daripada Teras Kelima Belanjawan Negeri Pahang 2027, iaitu Memelihara Alam Sekitar dan Mengurus Sumber Negeri Secara Lestari, yang menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM97.3 juta.
Pelaksanaan pelbagai inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh pengurusan sumber perikanan secara mampan, di samping menyokong pembangunan industri perikanan dan akuakultur negeri untuk jangka panjang. -PAHANGMEDIA

