Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 06 FEBRUARI 2025 : YAB Menteri Besar Pahang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter yang terhempas di Bentong hari ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan di laman sosial turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi menyelamat.
“Salam takziah saya ucapkan buat keluarga mangsa nahas helikopter yang terhempas di Batu 8 Jalan Lama Kuala Lumpur – Bentong sebentar tadi.
“Terima kasih kepada pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia petugas Jabatan Kesihatan serta semua pihak yang terlibat dalam operasi menyelamat ini.
“Semoga segala urusan dalam operasi ini dipermudahkan Allah SWT,” katanya.
Mengikut kenyataan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, helikopter jenis Bell 206L4 ini sedang melakukan pendaratan di lokasi tersebut untuk pengisian bahan bakar namun telah hilang kawalan dan terbalik.
Akibat kejadian, seorang lelaki warga Indonesia yang merupakan jurutera telah meninggal dunia ketika berada di kawasan pendaratan disyaki akibat terkena bilah kipas helikopter manakala juruterbang helikopter terselamat dan tidak mengalami kecederaan.
Helikopter tersebut telah mengalami kebakaran dan musnah sepenuhnya dalam kejadian kira-kira 10.52 pagi tadi. -PAHANGMEDIA

