Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : S. Prathap
BENTONG, 06 FEBRUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang komited dalam pembangunan mampan khususnya melibatkan bidang teknologi, pendidikan, dan sains bagi rakyat di negeri ini.
Menurut Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, platform International Conference on Discoveries in Applied Sciences and Advanced Technology (DASAT) 2025 amat diperlukan bagi membincangkan perkara intelektual ini.
“Persoalan kita ialah bagaimana untuk memanfaatkan kuasa sains dan inovasi untuk melindungi ekosistem kita, memperkasakan komuniti kita, dan memastikan masa depan yang makmur untuk generasi akan datang.
“Sebagai permulaan, kita memerlukan platform seperti DASAT 2025, disertai oleh kolektif intelektual daripada pelbagai disiplin ilmu untuk membincangkan, membahas, dan merekabentuk strategi bagi menangani cabaran ini.
“Saya amat menggalakkan usaha oleh Universiti Teknologi MARA dalam menggalakkan kecemerlangan saintifik dan memupuk kerjasama antara akademia, industri dan kerajaan. Semangat perkongsian ini akan membolehkan kita menterjemah idea dalam memastikan tindakan yang lebih memberi kesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan International Conference on Discoveries in Applied Sciences and Advanced Technology (DASAT) 2025 di Awana Resort.

Turut hadir, Rektor Universiti Teknologi MARA Pahang, YBrs. Professor Ts. Dr Azhan Hashim @ Ismail; Dekan Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi MARA, YBrs. Professor Ts. Dr Mohd Rozi Ahmad; dan Pengerusi DASAT 2025, YBrs. Professor Madya Ts. Dr Siti Norasmah Surip.
Menurut beliau, negeri ini juga mempunyai beberapa institusi pendidikan yang komited membangunkan bakat dalam bidang sains dan teknologi.
“Pahang juga mempunyai beberapa institusi pendidikan yang komited untuk membangunkan bakat dalam sains dan teknologi. UiTM Pahang, Universiti Malaysia Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), dan Politeknik Muadzam Shah (PMS) bersama-sama mendaftarkan ribuan pelajar setiap tahun dalam program teknikal dan kejuruteraan, menyediakan peluang pendidikan dan penyelidikan bertaraf dunia.
“Institusi ini penting dalam memupuk tenaga kerja mahir untuk menyokong cita-cita Kerajaan Negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA

