Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 6 FEBRUARI 2025 : Penjawat awam Negeri Pahang melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Kerajaan Pahang apabila menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak satu bulan setengah gaji hari ini.
Salah seorang penerima, Wan Ahmad Jamalullail Wan Ismayudin, 49, berkata, pemberian BKK terbabit sedikit sebanyak dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak yang akan memulakan sesi persekolahan 17 Februari ini.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana memberikan bonus dan terima kasih kepada YAB. Menteri Besar Pahang kerana dapat bonus hari ini.
“Bonus ini dapat membantu untuk perbelanjaan anak sekolah dan juga membantu perbelanjaan-perbelanjaan sampingan lain,” katanya.

Bagi seorang lagi penerima, Abdul Azizi Abdul Ghafar, 39, bonus yang diterima berkenaan dapat digunakan untuk melakukan persiapan awal menyambut Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.
“Saya amat bersyukur pada hari ini kerana Kerajaan Negeri Pahang memberikan bonus.
“Dengan bonus ini dapat digunakan untuk membuat persiaapan awal menyambut Hari Raya, dapat beli baju raya lebih awal,” ujarnya.

Bagi Penghulu Mukim Cheka 1, Mohamad Faiz Abdullah, 42, pula, dia berharap agar pemberian bonus seumpama itu dapat diteruskan lagi pada tahun ini.
“Saya bagi pihak penghulu di dalam daerah Lipis mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di atas bonus sebulan setengah gaji kepada kakitangan awam di seluruh Negeri Pahang.
“Terima kasih YAB Menteri Besar Pahang. Tahun ini bagi lagi… terima kasih,” katanya. -PAHANGMEDIA

