Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM36.78 juta bagi tahun 2025 untuk mengembangkan lagi sektor pertanian dan industri asas tani.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Kerajaan Negeri terus komited untuk mempertingkatkan lagi sumbangan dan pengeluaran sektor pertanian dalam usaha memastikan keterjaminan bekalan makanan di Pahang.
“Bagi tujuan merancakkan lagi sektor pertanian dan industri asas tani, Kerajaan Negeri akan menganjurkan Program Mini MAHA (Pertanian, Hortikultur, dan Agropelancongan Malaysia) Pahang dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.
“Dalam pada itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan beberapa inisiatif yang sedia ada seperti program Pusat Perintis Vanila, program Anak Pokok Terpilih, inisiatif Dusun Rakyat Pahang dan bantuan tanaman makanan ternakan.
“Bagi meningkatkan kualiti serta keselamatan produk-produk pertanian, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang melibatkan kawalan, latihan, dan input teknikal berkaitan penggunaan racun perosak dengan peruntukan RM110,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pembentangan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang.
Menurut beliau, keterjaminan sektor pertanian ini merupakan salah satu bahagian di bawah Tekad Pertama : Pengukuhan Daya Saing dan Pertumbuhan Ekonomi Yang Inklusif Serta Mampan dalam belanjawan ini.
“Tahun 2025 merupakan peluang untuk kita mengorak langkah lebih jauh dalam membina sebuah negeri yang kukuh ekonominya, makmur rakyatnya, dan sejahtera lingkungannya.
“Untuk itu, bagi memastikan ekonomi di negeri Pahang terus dipacu dengan baik, beberapa inisiatif telah dirangka oleh Kerajaan Negeri agar manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat,” katanya. -PAHANGMEDIA

