Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang mensasarkan kutipan hasil Kerajaan Negeri meningkat kepada RM1.194 bilion bagi tahun 2025.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, kutipan hasil ini adalah peningkatan sebanyak 5 peratus berbanding pada 2024.
“Bagi tahun 2025, kita mensasarkan kutipan hasil Kerajaan Negeri mencecah RM1.194 bilion. Unjuran kutipan hasil ini meningkat sebanyak 5 peratus berbanding Belanjawan Tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pembentangan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang.
Menurut beliau, daripada kutipan hasil ini akan diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan Kerajaan Negeri Pahang.
“Daripada jumlah ini, RM1.182 bilion akan diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus, yang merangkumi perbelanjaan Emolumen, Perkhidmatan dan Bekalan, Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap serta Perbelanjaan Lain dan Aset.
“Dengan peningkatan sebanyak RM57 juta atau 5.05 peratus berbanding tahun 2024 dengan lebihan atau surplus sebanyak RM12 juta.
“Manakala bagi tujuan Perbelanjaan Pembangunan, peruntukan yang akan disediakan adalah sebanyak RM399.64 juta,” katanya. -PAHANGMEDIA

