Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukan RM29.91 juta kepada industri makanan, perikanan, dan keusahawanan di Negeri Pahang bagi 2025.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, ini bagi memastikan isu keterjaminan makanan dapat diatasi dan meningkatkan bidang keusahawanan.
“Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM24.41 juta pada tahun 2025 untuk memperkukuhkan dan memajukan lagi sektor penternakan negeri ini.
“Seterusnya, bagi memastikan sektor perikanan negeri terus mampan, Kerajaan Negeri telah bersetuju meneruskan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada Jabatan Perikanan Negeri bagi pelaksanaan inisiatif antaranya Program Khidmat Sokongan Akuakultur (Khidmat Pengembangan Akuakultur), Pengurusan Sumber Marin Secara Mampan dan Program Pembangunan Kualiti Perikanan Darat.
“Kerajaan Negeri akan meneruskan beberapa pendekatan untuk meningkatkan bidang keusahawanan. Untuk itu inisiatif baharu telah pun dirancang pelaksanaannya pada tahun 2025 iaitu Program Usahawan Makmur melibatkan peruntukan RM5 juta yang bertujuan untuk memperkasa kapasiti perniagaan usahawan Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pembentangan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang.
Menurut beliau, industri penternakan menjadi tumpuan Kerajaan Negeri bagi memastikan Negeri Pahang menjadi salah satu negeri pengeluar utama makanan berasaskan ternakan.
“Justeru itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan beberapa inisiatif antaranya Skim Makmur Ternak, Projek Transformasi Ayam Pedaging, Skim Tingkat Ekonomi dan Produktiviti Pahang Industri Asas Ternakan, Skim Memperkasa Ekonomi Agropreneur Rizab Makanan Ternakan dan perkhidmatan penanaman dan penghasilan makanan ternakan.
“Peruntukan RM500,000 juga disediakan bagi penganjuran Malaysia East Coast Trade and Entrepreneur Expo,” katanya. -PAHANGMEDIA

