Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 04 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menyalurkan RM10 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang bagi perbelanjaan pengurusan menghadapi bencana Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Pengarah JKM Pahang, Encik Khairul Amri Ahmad berkata peruntukan berkenaan adalah bagi menyedia dan menyelenggara pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memastikan keselesaan mangsa bencana sepanjang mereka berada di PPS.
“Bantuan turut membabitkan penyediaan dan mengedar bantuan makanan, pakaian serta lain-lain keperluan asas kepada mangsa yang terpaksa berpindah selepas rumah mereka ditenggelami banjir.
“Tumpuan turut diberikan bagi proses pendaftaran mangsa bencana bagi tujuan pemulihan selain memberi bimbingan, nasihat termasuk kaunseling kepada mangsa bencana terutama bagi mereka yang kehilangan harta benda hingga menyebabkan kerugian besar.
“Tahun ini jabatan menyediakan sebanyak 858 PPS seluruh negeri ini yang mampu menampung seramai 166,295 mangsa bencana dalam satu masa yang dilengkapi pelbagai kemudahan bagi keselesaan mereka,” katanya.
Menurut beliau, pihak JKM juga telah selesai menghantar barangan keperluan asas bencana ke semua stor bencana daerah pada Ogos lalu sebagai persiapan menghadapi bencana banjir.
“Kita juga menyediakan 164 pangkalan hadapan bagi menempatkan barang-barang makanan kering seperti beras, minyak masak, gula, garam, kopi, teh, kari ayam, sardin dan biskut.
“Selain dewan serbaguna dan sekolah, turut dijadikan PPS ialah balai raya dan surau dengan setiap PPS mampu menempatkan antara 200 hingga 2,000 mangsa pada satu-satu masa.
“Kita telah selesai menghantar barangan keperluan asas bencana seperti toto, selimut, tikar, tuala, hygiene kit, kain batik, kain pelikat, makanan sedia dimakan, lampin pakai buang kanak-kanak dan dewasa ke semua stor bencana daerah pada Ogos lalu dan setiap mangsa banjir dibekalkan barangan makanan dan keperluan lain seperti selimut, kain, tuala, tikar, makanan sedia, lampin pakai buang dan sabun,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya meminta penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan mudah berlaku banjir supaya segera berpindah jika menerima arahan bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku.
“Mereka yang terbabit perlu berpindah pada waktu siang bagi memudahkan pihak berkuasa menyediakan kemudahan diperlukan seperti bot dan kenderaan. Walaupun musim tengkujuh sudah bermula namun buat masa ini tiada lagi PPS dibuka disebabkan bencana banjir.
“Saya berharap masyarakat yang tinggal di kawasan rendah dan mudah berlaku banjir supaya lebih berhati-hati, ikut arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah. Simpan dokumen penting ditempat selamat.
“Kita tidak mahu sebarang kejadian buruk berlaku hingga kehilangan nyawa hanya kerana kecuaian dan sikap tunggu dan lihat yang biasa berlaku setiap kali bencana banjir berlaku. Apabila paras air pada tahap merbahaya keadaan mula menjadi cemas terutama pada waktu malam,” katanya. -PAHANGMEDIA

