Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Shahrizar Adzhar
KUANTAN, 22 APRIL 2026 : “Syukur alhamdulillah kerana keprihatinan daripada Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dapat meringankan beban sebab saya seorang pesara,” kongsi penerima cek sumbangan Kerajaan Negeri, Encik Zainulkharib Dzulkarnain.
Menurut Encik Zainulkharib, 64, dia merasa bersyukur di atas bantuan yang diterima bagi menampung kos pengajian anaknya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun.

“Bantuan pendidikan ini untuk anak saya yang menjalankan pengajian di Dungun. Jadi saya minta sedikit bantuan daripada Kerajaan Negeri Pahang untuk meringankan beban saya.
“Saya amat berterima kasih dengan kerajaan yang ada sekarang, sangat membantu dan usaha ini amat saya alu-alukan,” katanya.
Sementara itu, Encik Mohd Sukri Idris, 43, menyifatkan bantuan yang diterima sebagai pemangkin utama dalam menjayakan pementasan teater sehingga mendapat sambutan bagi pementasan kali kedua.

“Alhamdulillah, saya sangat berbesar hati dan rasa sangat gembira kerana sumbangan yang banyak ini dapat memberikan satu pementasan (teater) tentang sejarah Pahang. Jadi daripada jumlah kewangan yang diberikan ini, maka pementasan ini dan dapat dilaksanakan dengan baik.
“Dari kejayaan (pementasan teater) bermula di Kuala Lumpur itulah maknanya titik kita nampak yang bantuan daripada Kerajaan Negeri ini sangat membantu. Jadi, alhamdulillah bantuan Kerajaan Negeri ini memang sangat membantu untuk kejayaan yang pertama hari itu sampailah mendapat sambutan untuk buat pementasan kali kedua,” katanya.
Dalam pada itu, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sumbangan tersebut mencerminkan keupayaan kewangan negeri yang kukuh hasil perancangan dan pengurusan yang berkesan.
“Kita syukur kerana Kerajaan Negeri mampu memberi bantuan seperti ini dan ianya kerana kalau tidak ada kedudukan kewangan yang kukuh tidak mungkin Kerajaan Negeri boleh membantu.
“Saya ingin berterus terang untuk menyatakan bahawa kedudukan kewangan ini tidak boleh begitu sahaja, tanpa perancangan ataupun pengurusan yang baik,” katanya.
Seramai 44 penerima menerima cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang berjumlah RM1,073,736 yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah, hari ini. -PAHANGMEDIA

