Oleh : Fadhil Roslizan
RAUB, 05 NOVEMBER 2024 : Kementerian Pengangkutan perlu lebih tegas dalam menangani isu pemandu mabuk yang terlibat dalam kemalangan hingga meragut nyawa orang awam termasuk meminda undang-undang sedia supaya lebih tegas.
Ketua Pemuda UMNO Pahang, Encik Kamil Ibrahim berkata, memandu di dalam keadaan mabuk dan dibawah pengaruh alkohol dan melanggar pengguna jalan raya yang lain boleh ditakrifkan sebagai membunuh.
“Kita mendesak supaya Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke untuk melihat isu ini dengan lebih serius. Hal pemandu mabuk yang memandu secara laju dan bahaya ini bukan perkara baru.

“Satu pindaan undang-undang perlu diadakan dan dibahaskan di Parlimen. Supaya akan datang, mereka yang melakukan kesalahan ini akan dihukum dengan lebih berat. Perkara ini tidak boleh dibiarkan. Jika perkara ini berlaku kepada keluarga kita sendiri, apa yang kita rasa?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan ziarah ke rumah Allahyarham Muhammad Nazrin Mokhter telah meninggal dunia apabila dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di jalan utama Taman Amalina Lestari, Raub.
Difahamkan, pemandu kenderaan itu disyaki mabuk dan memandu dalam keadaan yang laju serta membahayakan.

Beliau turut menyampaikan sumbangan serta khidmat sokongan untuk membantu keluarga mangsa dan memastikan Allahyarham Muhammad Nazrin atau lebih mesra dengan panggilan Ayen mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Beliau juga mendesak supaya Ahli Parlimen Raub, YB Chow Yu Hui untuk lebih bersuara dalam isu ini di dalam Sidang Parlimen.
“YB Chow selaku Ahli Parlimen Raub perlu menjadi individu yang pertama untuk membawa isu ini di dalam Sidang Dewan Rakyat. Kemalangan yang telah meragut nyawa ini berlaku di dalam kawasan Parlimen beliau.
“Cukuplah hanya membawa isu remeh seperti isu Durian Musang King yang kita semua tahu sedang dalam proses perbicaraan mahkamah. Isu kemalangan nyawa ini isu rakyat. Isu ini yang perlu dititik beratkan oleh beliau selaku Ahli Parlimen,” katanya.
Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Batu Talam, YB Dato’ Abdul Aziz Haji Mat Kiram. -PAHANGMEDIA

