Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 20 APRIL 2026 : Keindahan Islam di bumi Pahang terus terserlah apabila Bot Wakaf Pahang tampil membantu menghantar mayat seorang pengurus resort berbangsa Cina dari Pulau Tioman ke Jeru Teluk Gading, Rompin, minggu lalu.
Menurut portal Wakaf Pahang, bot berkenaan digerakkan bagi menghantar mayat lelaki berusi 45 tahun itu ke Hospital Rompin untuk tujuan bedah siasat.
Difahamkan pihak pengurusan Bot Wakaf menerima panggilan kecemasan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kira-kira pukul 8 pagi, 17 April lalu sebelum berlepas pada pukul 10 pagi bagi melaksanakan misi tersebut.
Misi berkenaan turut membawa tiga orang waris serta seorang anggota dari Balai Polis Tekek, dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Laut Malaysia (JLM) Tioman dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Teluk Gading.
Bot Wakaf Pahang merupakan sumbangan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta hasil sumbangan wakaf daripada orang ramai.
Aset berkenaan kini dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Pembangunan Tioman bagi memastikan kebajikan dan urusan kecemasan penduduk pulau sentiasa diutamakan.
Inisiatif itu sekali gus membuktikan bahawa manfaat daripada institusi Islam seperti MUIP dan dana wakaf masyarakat tidak hanya terhad kepada komuniti Muslim, malah melimpah kepada seluruh masyarakat tanpa mengira bangsa. -PAHANGMEDIA

