Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 04 NOVEMBER 2024 : Penduduk di negeri ini diminta bersiap sedia untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula 5 November ini.
Menurut satu kenyataan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, MTL yang dijangka berakhir pada Mac 2025 lazimnya menyebabkan bencana banjir di Pahang.
“Oleh itu, saya menasihatkan orang ramai khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga, serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya perlu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri bersama-sama agensi keselamatan yang lain sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana ini,” katanya.
Beliau turut melahirkan harapan semoga semua rakyat di negeri ini dilindungi oleh Allah SWT daripada menghadapi sebarang musibah dan malapetaka. -PAHANGMEDIA

