Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
MARAN, 20 APRIL 2026 : Kerja naik taraf dan meninggikan aras jalan kawasan banjir di Jalan Bak-Bak dan Serengkam sejauh 8 kilometer (km) berbaki 10 peratus untuk diselesaikan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, namun demikian tiga lokasi daripada lapan lokasi terlibat akan melalui proses reka bentuk semula dan mengambil masa untuk diselesaikan.

“Terdapat lapan lokasi yang terlibat dalam kontrak ini dan sepanjang tempoh pembinaan ni ada tiga kawasan iaitu lokasi 6, 7, 8 yang memerlukan reka bentuk semula disebabkan oleh keadaan condition tanahnya.
“Di mana semasa tempoh di awal kerjanya berlaku settlement yang melibatkan pihak JKR terpaksa membuat penyiasatan tapak, dan buat reka bentuk baru dan sekarang dalam proses untuk memohon peruntukan tambahan untuk melaksanakan kerja-kerja di lokasi.

“Di lokasi 1, 2, 3, 4, 5 ini kerja-kerja sebenarnya dah lebih 90 peratus dah siap,” katanya ketika ditemui pada lawatan kerja Tapak Projek Kampung Bak-bak dan Serengkam hari ini.
Tambah beliau, pihaknya telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri untuk melakukan penyerahan secara berfasa kepada lima lokasi terlibat.
“Jadi saya minta pihak JKR mengkaji supaya lokasi 1, 2, 3, 4, 5 ni diserah secara berfasa kerana sekarang ni projek dah lama, tak disiap sempurna sebab menunggu nak siap semua sekali, ini memberi ketidakselesaan kepada pengguna jalan raya.

“Kalau tengok tadi pun dengan garisan jalan pun tak ada, jalan pun baru dia buat binder course, yang wearing course tak buat lagi. Sebenarnya mereka nak buat wearing course menunggu semua siap.
“Jadi saya ingat kalau buat secara berfasa mungkin ini boleh siap sempurna jadi beri keselesaan kepada masyarakat dan yang penting keselamatan pengguna jalan raya,” katanya. -PAHANGMEDIA

