Oleh : Ain Nadhirah Basha
CAMERON HIGHLANDS, 02 NOVEMBER 2024 : Hampir 9,000 pokok hutan pelbagai jenis telah ditanam di kawasan hutan simpan yang diceroboh di daerah ini dalam tempoh 10 bulan oleh Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands.
Menurut Pegawai Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands, Encik Arifhadi Johari Affandi, penanaman pokok ini akan dilakukan setiap kali selesai operasi tebas melibatkan kawasan yang diteroka secara haram.
“Dari masa ke semasa, kita mengadakan program restorasi di Cameron Highlands terutamanya membabitkan kawasan ceroboh yang sebelum ini dijadikan kebun sayur secara haram.
“Selepas operasi musnah dilakukan kita akan hijaukan semula kawasan terbabit dengan aktiviti menanam pokok hutan yang dilakukan dengan kerjasama Pejabat Silvikutur Negeri Zon Pahang Barat, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).
“Menjadi tanggungjawab kita selepas pemusnahan kebun haram dilakukan dengan berusaha memulihkan semula kawasan ceroboh terbabit dengan menanam beberapa jenis tanaman sesuai di tanah tinggi segera dilakukan,” katanya ketika berucap Sempena Kempen Penghijauan Malaysia pemulihan semula kawasan teroka Hutan Simpan Sungai Ichat dan Hutan Simpan Batu Gangan yang disempurnakan Penolong Pegawai Daerah Cameron Highlands, YBhg. Puan Siti Rothemanizan Otheman.
Beliau berkata program penanaman semula kawasan ceroboh merupakan langkah bagi mengembalikan keseimbangan alam semula jadi dalam memastikan kesinambungan sumber berharga di daerah ini.

“Sebanyak 2,300 pokok hutan telah ditanam dalam aktiviti sama pada bulan lalu selepas operasi pemusnahan bersepadu dilakukan membabitkan Hutan Simpan Mentigi dan Hutan Simpan Bertam.
“Yang terbaharu adalah aktiviti menanam sebanyak 2,000 pokok hutan membabitkan spesies Meranti Bukit, Meranti Tembaga, Merbau dan Araucaria dilakukan kelmarin membabitkan kawasan Hutan Simpan Sungai Ichat dan Hutan Simpan Batu Gangan seluas 2.85 hektar.
“Selepas kerja penanaman dilakukan, kita akan terus membuat pemantauan dan tinjauan bagi memastikan semua pokok ditanam hidup. Kerja menyulam turut akan dilakukan bagi menggantikan pokok yang mati,” katanya.
Menurut beliau, tindakan pemusnahan tanaman sayuran setiap kali operasi musnah dilakukan merupakan satu tindakan yang perlu diambil kerana ia menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 32(1) Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh kawasan hutan simpan.
“Dalam operasi pemusnahan bersepadu bulan lalu, kawasan kebun sayur seluas 16.98 hektar yang diusahakan secara haram dimusnahkan dalam tempoh lima hari operasi terbabit yang disertai kira-kira 148 anggota.
“Operasi membabitkan empat kawasan hutan simpan, Hutan Simpan Sungai Ichat seluas 0.9.hektar; Hutan Simpan Batu Gangan (1.22 hektar); Hutan Simpan Mentigi (5.7 hektar); dan Hutan Simpan Bertam (9.16 hektar).
“Turut dimusnahkan 20 binaan yang terdapat dalam empat hutan simpan tersebut berupa rumah kongsi termasuk pondok, stor simpanan baja dan rumah plastik,” katanya yang berharap aktiviti penerokaan haram hutan simpan dapat dibenteras. -PAHANGMEDIA

