Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 02 NOVEMBER 2024 : Jabatan Perikanan Negeri Pahang akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang menternak ikan asing terutamanya daripada spesis baung ekor merah.
Menurut pengarahnya, Encik Abdullah Jaafar, ini kerana ikan asing terutamanya baung ekor merah dilaporkan semakin membiak di Sungai Pahang dan beberapa sungai utama di negeri ini.
“Jabatan akan terus memantau perkembangan ikan asing terutama ikan baung ekor merah yang kini dikatakan semakin membiak di Sungai Pahang dan beberapa lagi sungai utama di negeri ini.
“Kita akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang bertindak menternak, memiliki dan menyimpan ikan asing terutama ikan baung ekor merah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian hadian pertandingan memancing Moh Tangkap Ikan Baung Ekor Merah di Taman Esplanade, Temerloh.
Dalam pertandingan tersebut, nelayan sungai, Mohd Jefridin Shamsudin dinobatkan sebagai juara selepas membawa naik ikan baung ekor merah seberat 15.18 kilogram (kg).
Mohd Jefridin berkata dengan baki masa hanya dua minit sebelum pertandingan tamat, ikan yang dinaikkan dekat Kampung Kuala Krau berjaya sampai ke meja urusetia pertandingan di Taman Esplanade.
Dia yang pernah menaikkan ikan dari spesis sama dengan berat 19 kilogram pada Ogos lalu membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.
Manakala bagi kategori ikan terbanyak pula menjadi milik Othman Abdul Latef yang berjaya menangkap 29 ekor ikan baung ekor merah dan membawa pulang hadiah RM2,000.
Seramai 130 kaki pancing telah menyertai pertandingan memancing Moh Tangkap Ikan Baung Ekor Merah anjuran Jabatan Perikanan Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

