Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 10 OKTOBER 2024: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menyasarkan penglibatan 1,500 usahawan pelbagai kategori industri dalam Program Halal on Track (HOT) @ Pahang yang akan berlangsung pada 19 Oktober nanti bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.
Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, program terbabit turut melibatkan beberapa agensi, institusi, dan kementerian yang berkaitan dengan pembangunan usahawan halal.
Katanya, penglibatan itu bertujuan untuk memastikan proses persediaan usahawan ke arah pensijilan halal Malaysia berjalan dengan lancar.
“Penganjuran HOT adalah manifestasi jelas komitmen Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, melalui kerjasama antara JAKIM bersama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam memperkasa pensijilan halal Malaysia.
“Program ini bertujuan untuk melaksanakan pelbagai kaedah dan pendekatan yang lebih mesra industri dan memberikan sokongan yang diperlukan kepada usahawan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahya, program yang akan bermula jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang itu merupakan program tahunan anjuran JAKIM dan JAIP yang dikendalikan oleh Bahagian Pengurusan Halal JAKIM di mana ia merupakan penganjuran kali ketiga sejak ia dimulakan tahun lalu.
Katanya lagi, program terbabit bakal disempurnakan perasmiannya oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan akan dihadiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar.
“Inisiatif ini diilhamkan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid dengan matlamat menyediakan platform strategik bagi usahawan untuk bersiap sedia dengan sebaiknya sebelum mengemukakan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM),” katanya dalam satu kenyataan.
Dato’ Dr. Sirajuddin juga memberitahu, program tebabit juga membawa satu agenda yang besar dalam memperksakan pensijilan halal Malaysia di kalangan ushawan tempatan.
“Antara objektif penganjuran ini adalah bagi meningkatkan kesedaran pemain industri dan pengguna berkaitan prosedur pensijilan halal Malaysia, memperbanyakkan jumlah pemegang SPHM di kalangan usahawan tempatan, mempercepatkan tempoh permohonan pensijilan halal dengan meningkatkan pemahaman para pemohon berkaitan prosedur pensijilan halal Malaysia, dan meningkatkan kesetiaan pemain industri kepada pensijilan halal Malaysia bagi memberikan keyakinan kepada para pengguna,” katanya.
Antara aktiviti menarik yang bakal disediakan dalam program terbabit termasuklah penyediaan kaunter pendaftaran sistem MYeHALAL serta kaunter bimbingan dan fasilitasi halal yang akan dikendalikan oleh pegawai JAKIM dan JAIP, seminar berkaitan pensijilan halal dan insentif berkaitan halal daripada institusi-institusi kewangan, sesi perkongsian pengalaman daripada pemegang SPHM, dan pembukaan reruai pameran daripada agensi kerajaan dan para usahawan halal di Malaysia.
“JAKIM dan JAIP menyeru kepada semua usahawan yang berada di negeri Pahang untuk menyertai program ini bagi mendapatkan bimbingan pensijilan halal secara terus daripada pihak berkuasa berwibawa.
“JAKIM juga mengharapkan penglibatan daripada agensi dan kementerian yang terlibat dengan pembangunan usahawan halal untuk turut serta menjayakan Program HOT@Pahang ini,” ujarnya.
Difahamkan juga, satu liputan secara langsung sepanjang program ini juga boleh ditonton melalui media sosial rasmi JAKIM. -PAHANGMEDIA

