Oleh : Fansurina Abdullah
KUALA LUMPUR, 10 OKTOBER 2024 : Kerajaan Pahang komited membangunkan sumber tenaga bersih serta tenaga boleh diperbaharui bagi menggantikan sumber tenaga fosil seperti minyak, gas dan arang batu bagi memastikan kelestarian alam sekitar dapat dipertingkatkan di bawah Dasar Netzero 2030.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pembangunan), YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin berkata, Pahang adalah antara negeri yang kehadapan dalam melaksanakan Agenda Netzero menjelang 2030 di mana ianya lebih awal berbanding dasar Netzero kebangsaan pada 2050.
“Sebagaimana yang kita tahu Pahang antara negeri yang kedepan dalam melaksanakan agenda Netzero ini dan kita sasarkan Netzero 2030 jauh lebih awal daripada negeri-negeri lain dan di peringkat kebangsaan kerajaan meletakkan 2050, jadi ada jurang beberapa puluh tahun maknanya kita cuba juga walaupun cabarannya memang begitu hebat kita merealisasikan Dasar Netzero Negeri Pahang.
“InsyaaAllah kalau kita mengaplikasikan kesemua teknologi yang ada dan yang mungkin dibangunkan pada masa-masa hadapan tidak mustahil kita akan dapat mencapai Netzero pada 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada International Greentech And Eco Products Exhibition And Conference Malaysia (IGEM) 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama tiga hari bermula semalam.
Pada program anjuran Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) ini, Pahang memberi fokus kepada beberapa aspek iaitu Perkhidmatan Air & Pembetungan Lestari, Pengurusan Biodiversiti & Perhutanan, Alam Sekitar, Mobiliti & Pengangkutan Karbon Rendah, Tenaga Terbaharu, Sains, Teknologi & Inovasi Mineral & Geosains, Peralihan Tenaga dan Kecekapan Tenaga.
Beliau berkata, kejayaan pelaksanaan Netzero 2030 memerlukan kerjasama strategik dan kolaborasi di antara kerajaan dengan pelbagai pihak bagi merealisasikan sasaran dasar negeri ke arah kelestarian alam sekitar.
“Secara keseluruhannya kita menunjukkan petanda yang positif, kalau kita lihat penggunaan kereta elektrik (EV), banyak outlet menjual aksesori elekttik ini semakin bertambah, jadi saya yakin dengan kemasukan jenama-jenama baru akan merancakkan lagi penggunaan kenderaan elektrik di bandar besar khususnya Kuantan, Temerloh, Bentong dan ianya akan diperluaskan ke daerah lain.
“Ianya adalah satu kolaborasi antara kerajaan dengan pihak swasta, satu kerjasana strategik,” katanya.
Pada IGEM 2024, tujuh agensi sebagai pempamer telah turut serta iaitu Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), UMPSA Holdings Sdn Bhd, Cenergi Sea Berhad, Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Perbadanan Taman Negeri Pahang dan PlanMalaysia Pahang.
Pada penyertaan kali pertama pada 2023, Pahang telah dinobatkan sebagai juara bagi anugerah States Innovation Awards. – PAHANGMEDIA

