Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 10 OKTOBER 2024 : Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMM) kini sedang memperkemas pembentukan modul akademik sebelum pengambilan pertama pelajar lepasan SPM pada tahun hadapan.
Pengarah AMMP, Encik Rashdan Abdul Manaf berkata, pihaknya kini bekerjasama kepakaran dengan pelbagai pihak termasuklah Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA) dan Pahang Skills Development Centre (Pahang Skills).
“Kita dalam proses perbincangan untuk membangunkan modul yang mungkin akan tawarkan program diploma kemahiran dan akademik di dalam bidang perlombongan dan mineral dan insyaaAllah nanti kita hendak buat ‘benchmarking’ di salah sebuah universiti terkenal dalam bidan mineral di Perth nanti.
“Ianya juga adalah selaras dengan persiapan untuk pembangunan kampus induk nanti dekat Bukit Sarang di Kuala Lipis di bawah Pembangunan Bandar Baru Kuala Lipis 3.0 yang merupakan salah satu komponen pembangunan di bawah Unit Pahang Barat PLUS,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, dalam tempoh pembangunan modul ini, pihak AMMP juga menganjurkan pelbagai kursus pendek dengan mensasarkan syarikat perlombongan dan kuari di negeri Pahang khususnya dan seluruh negara amnya dalam pelbagai bidang.
“Kursus pendek ini ada yang boleh ‘customize’ dan ada yang kita telah susun jadualnya, jadi buat masa ini kita ada lebih kurang 10 kursus yang ditawarkan iaitu berkaitan keselamatan, elektrikal, Sustainable Development Goals (SDG) serta lain-lain keperluan kemahiran dalam mineral.
“Kursus ini merupakan kolaborasi bersama Pahang Skills dan UMPSA,” katanya.
Jelasnya, AMMP bertanggungjawab mendidik pekerja dalam industri perlombongan dengan menyebarkan pengetahuan terhadap aspek ESG agar dapat diserap dalam sektor pekerjaan di samping penyediaan pembangunan modal insan khusus dalam bidang mineral. – PAHANGMEDIA

