Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Najmuddin Zahid
KUANTAN, 10 OKTOBER 2024 : Penubuhan ORACO (Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd) oleh Kerajaan Negeri Pahang disifatkan sebagai ‘bapa kedua’ bersama pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli di negeri ini.
Menurut Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Dato’ Dr. Ramli Dato’ Mohd Nor, penubuhan ORACO ini membuktikan Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mengambil berat berkenaan hal ehwal masyarakat Orang Asli di negeri ini.
“Kita dapati kalau jaga kebajikan di peringkat pusat adalah JAKOA, tapi kalau kita ada seorang lagi bapa di peringkat negeri alangkah baiknya.

“ORACO ini bukan sahaja nak jaga ladang, sediakan kemudahan, malah kebajikan pun dia jaga. Negeri lain tak merasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Program Retreat Kepimpinan Masyarakat Orang Asli Sempena Hari Orang Asli Sedunia Peringkat Negeri Pahang 2024 di Hotel Grand DarulMakmur.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Orang Asli Corporation (ORACO), YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah.
Beliau dalam majlis sama turut menyeru kepimpinan Orang Asli untuk membangunkan masyarakat mereka melalui pendidikan yang berterusan.
“Tidak akan ada sesuatu kaum itu akan maju melainkan kaum itu sendiri yang akan bergerak maju. Bagaimana? Adalah melalui ilmu yang datang dari pendidikan dan kita cari.
“Jadi saya tekankan kepada masyarakat saya utamakanlah pendidikan. Kita mungkin tak berpendidikan tapi generasi yang akan mewarisi kita ini dapat bersaing pada masa hadapan adalah melalui pendidikan,” katanya. -PAHANGMEDIA

