Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 08 OKTOBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menyebarluas rangkaian dalam bidang teknologi hijau dan kemampanan alam sekitar melalui program International Greentech and Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) 2024.
Penyertaan Kerajaan Negeri Pahang ke IGEM 2024 yang memasuki tahun kedua ini turut bertujuan untuk mengumpul maklumat dan memberi pendedahan berkenaan teknologi hijau.
Selain itu, ia juga bagi mempamer inovasi dan penyelidikan ke arah kelestarian alam sekitar oleh jabatan, agensi, syarikat atau universiti dalam Negeri Pahang, serta mengetengahkan inisiatif-inisiatif yang telah dibangunkan ke arah pembangunan mampan dalam Negeri Pahang.
Program yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Konvensyen Kuala Lumpur City Center (KLCC) bermula 9 September ini juga bagi membuka peluang kerjasama dengan pelbagai pihak dari dalam atau luar negara kepada pempamer di bawah Kerajaan Negeri Pahang.
Pameran yang telah bermula setiap tahun sejak 2010 ini lagi turut akan melibatkan enam pempamer dari Pahang iaitu Majlis Bandaraya Kuantan (MBK); Lembaga Pembangunan Tioman (TDA); Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP); Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Holdings; Pusat Penyelidikan Tasik Chini, Universiti Kebangsaan Malaysia; dan Cenergi SEA Malaysia.
Pada tahun lepas, Pahang telah berjaya menjadi pemenang bagi Anugerah Inovasi Negeri, Pameran dan Persidangan Greentech dan Produk Eko Antarabangsa berdasarkan penglibatan daripada pelbagai sektor termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), dan syarikat swasta, serta berdasarkan bahan pameran seperti eko-produk dan kajian oleh universiti yang terlibat. -PAHANGMEDIA

