Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Akmalia Allen
KUANTAN, 8 OKTOBER 2024 : Pelaksanaan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak : Kasih Kanak-Kanak bertujuan memberikan kesedaran kepada pelbagai pihak termasuklah masyarakat setempat terhadap kepentingan menjaga dan melindungi kanak-kanak.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, Pahang menyambut baik penganjuran program seumpama itu yang membabitkan warga sekolah kerana ianya dapat memberi kesedaran terhadap kanak-kanak terhadap bentuk-bentuk ancaman kepada mereka.
“Tujuannya adalah untuk menyedarkan masyarakat dari peringkat bawahan tentang penderaan kanak-kanak termasuk fizikal, mental dan seksual dan kita berharap dengan adanya program advokasi ini akan memberikan kesedaran kepada semua pihak tentang penderaan terhadap kanak-kanak.

“Kita laksanakan program di sekolah kerana kita ingin juga memberi kesedaran kepada kanak-kanak sekolah di mana kita mengajar mereka tentang apa yang kita nampak sebagai penderaan, kadang-kadang mereka tidak tahu dia ingat usik sikit itu biasa tetapi itu sebenarnya proses kepada penderaan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB. Dato’ Sri Dr. Noraini Ahmad ke Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak : Kasih Kanak-Kanak Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 di Sekolah Kebangsaan Chengal Lempong, Kuantan, hari ini.
Jelasnya, program itu akan diperluaskan ke seluruh Pahang dengan membabitkan sebanyak 30 sekolah yang sudah tersenarai bagi memastikan tahap kesedaran terhadap kes penganiayaan kanak-kanak dapat disebarkan secara menyeluruh dengan membabitkan pelajar sekolah.
Program ini melibatkan ceramah dan pameran agensi yang memberikan maklumat penting kepada masyarakat dan kanak-kanak, khususnya mengenai langkah-langkah yang perlu diambil jika terdedah kepada penderaan.
Bagi memperkasakan kanak-kanak, program ini akan dilaksanakan di 300 sekolah di seluruh Malaysia sepanjang tahun 2024. -PAHANGMEDIA

