Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhamad Amiruddin Ani (Unit Korporat)
KUANTAN, 08 OKTOBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menganjurkan Malaysia International Tourism Expo Pahang 2024 (MIT Pahang 2024) yang berkonsepkan perniagaan kepada perniagaan (B2B) oleh Kerajaan ini juga julung kali diadakan di Malaysia.
Menurut Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man, ini merupakan eksposisi pelancongan bertaraf antarabangsa yang julung kali diadakan.
“Event ini adalah event yang dinantikan khususnya pemain industri sebab kita faham untuk mempromosikan pelancongan biasanya pemain industri atau Tourism Malaysia akan mengambil bahagian dalam eksposisi pelancongan di luar negara.

“Jadi untuk Kerajaan Negeri Pahang kita ambil satu inisiatif untuk mengeksposisikan Malaysia khususnya Negeri Pahang dan Kuantan sebagai satu lokasi pertemuan pemain industri pelancongan.
“Kita percaya bahawa ia mempunyai potensi untuk menarik pemain industri untuk sampai ke Malaysia khususnya Pahang untuk perbincangan, perkongsian idea, bagaimana kita boleh membangunkan sektor pelancongan bersama,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana MIT Pahang telah berjaya menarik lebih 200 pempamer daripada 11 negara untuk menyertai pameran pelancongan yang diadakan.
“Kerajaan Negeri Pahang turut mengambil inisiatif untuk menjemput premium buyers dari lebih 15 buah negara yang dipilih daripada betul-betul syarikat pelancongan yang berskala besar dan ada potensi untuk membawa pelancong ke Malaysia.
“Mereka merupakan rakan strategik kita yang terdiri daripada 16 buah negara iaitu Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam, Kemboja, China, India, USA, UAE, dan banyak lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Perasmian Malaysia International Tourism Expo Pahang 2024 (MIT Pahang 2024) di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre (SASICC).
Tambah beliau MIT Pahang 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dijangka dapat menarik 10,000 pengunjung dan peserta daripada dalam negara serta luar negara. -PAHANGMEDIA

