Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Nuraqilah Amran
CAMERON HIGHLANDS, 01 OKTOBER 2024 : Projek PKPP Strawberry Village (PSV) dilihat dapat menarik lebih ramai pengunjung ke destinasi pelancongan ini apabila ia siap sepenuhnya kelak.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tambahan pula PSV yang terletak di Brinchang ini turut menawarkan pelbagai kemudahan kepada pengunjung selain tanaman strawberi.

“Tadi saya lihat mereka juga ada khemah, tapak perkhemahan untuk menarik pelancong datang ke sini. Saya percaya ianya boleh menjadi daya tarikan kepada pelancong untuk datang ke tapak PSV ini.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) kerana telah meneroka dalam bidang pertanian iaitu penanaman strawberi seluas 8 ekar.
“Maknanya PKPP ini selain daripada tanam sawit, kelapa, longan, padi, mereka kali ini menanam strawberi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Projek PKPP Strawberry Village (PSV) di Brinchang.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim; dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), YH. Dato’ Suhaimi Mohd Yunus.
Sebanyak 75,000 pokok strawberi merah dan putih akan ditanam di tanah milik PKPP ini dengan menggunakan sistem AutoFlo Fertigation.
Dijangkakan setiap pokok strawberi mampu menghasilkan 1 kilogram buah setahun dan
anggaran hasil boleh dituai buah setahun adalah sebanyak 7.5 tan. -PAHANGMEDIA

