Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 1 OKTOBER 2024 : Tuan Johari Shukri Jamil dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Pasdec Holdings Berhad (PASDEC) yang baharu berkuatkuasa hari ini.
Tuan Johari Shukri yang sebelum ini menyandang jawatan sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif PASDEC pada 1 Ogos lalu pernah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management Sdn. Bhd. selain merupakan pengurus Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) sejak tahun 2022 sekali gus telah mengemudi Hektar REIT melalui pemulihan pasca pandemik, menerajui pertumbuhan dan kepelbagaiannya seterusnya meningkatkan kembali keuntungannya.
Susulan itu, beliau telah diiktiraf sebagai Malaysia Top Achiever 2023 bagi CEO of The Year, Kecemerlangan Kepimpinan dalam Pengurusan REIT anjuran The Leaders Online.
Beliau juga pernah menyandang jawatan Naib Presiden Eksekutif Pembangunan Perniagaan dan Pejabat Transformasi di Iskandar Investment Berhad, selain pernah menyandang jawatan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Teknik EA (M) Berhad, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Tanjung Langsat Port Sdn. Bhd. dan jawatan kanan di beberapa syarikat Johor Corporation.
Dengan pengalaman melebihi 28 tahun dalam pelbagai bidang, Tuan Johari Shukri berperanan untuk menyelia hala tuju strategik PASDEC, memacu inisiatif untuk meningkatkan pertumbuhan dan inovasi merentasi semua bahagian, serta menerajui PASDEC dalam pengembangan dan perjalanan pertumbuhan yang mampan untuk menyampaikan nilai kepada pihak berkepentingan.
Tuan Johari juga berperanan untuk membina kedudukan kewangan yang kukuh dan mengembangkan nilai jangka panjang untuk pemegang saham PASDEC.
Pengerusi, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Kassim (B) berkata pelantikan Tuan Johari sebagai Kumpulan Pengarah Urusan adalah sebahagian daripada usaha untuk memacu perniagaan PASDEC dalam mengharungi perubahan ekonomi dengan idea baharu yang segar.
“Johari adalah seorang pemimpin yang luar biasa dengan visi strategik dan mempunyai mata yang tajam bagi aliran mega, menukar peluang kepada keuntungan.
“Kami tidak sabar untuk bekerja dengannya sebagaimana kami mengukuhkan kehadiran pasaran kami dan mengembangkan portfolio kami,” katanya. -PAHANGMEDIA

