Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Nuraqilah Amran
CAMERON HIGHLANDS, 29 SEPTEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang melancarkan sistem E-Sewa menambah baik sistem pengurusan skim sewaan tanah pertanian di Cameron Highlands melibatkan 78 blok tanah.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sistem ini membangunkan data maklumat penyewa atau pekebun serta memantau status kutipan bayaran sewaan secara teknologi digital.

“Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Pahang melalui Pahang Corporation (Pahang Corp) telah melaksanakan program pemutihan tanah pertanian dengan melibatkan keluasan 5,526 hektar (13,655 ekar) tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) di Cameron Highlands dengan pelaksanaan program skim sewaan tanah pertanian bagi menggantikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) yang bermula sejak Januari 2020.
“Daripada jumlah 13,655 ekar tersebut, seluas anggaran 9,000 ekar yang boleh diputihkan setelah ditolak kawasan bercerun dan rizab. Sehingga September 2024 terdapat seramai 1,660 pekebun dengan tanah yang diusahakan seluas 4,733 ekar telah direkodkan di dalam data maklumat pekebun.

“Namun daripada jumlah tersebut, masih ramai lagi yang culas untuk membuat bayaran sewaan setiap tahun dan melakukan aktiviti pencerobohan haram. Bagi pekebun yang mematuhi syarat dan tiada tunggakan bayaran sewa serta melaksanakan Amalan Pertanian Baik dengan memperolehi pensijilan MyGAP akan melayakkan mereka diberikan penyambungan automatik tempoh sewaan tanah oleh Pahang Corp, menerusi Sistem E-Sewa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Moh Karnival Makmur Tahun 2024 Peringkat Daerah Cameron Highlands di Tempat Parkir MDCH, Tanah Rata.

Beliau dalam majlis berkenaan turut menyampaikan Sijil Tawaran Sewaan secara penyambungan automatik tanah pertanian kepada 64 penyewa yang layak di bawah pengurusan Pahang Corporation.
Selain itu, beliau dalam majlis berkenaan turut menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) peringkat daerah Cameron Highlands melibatkan kluster pertanian seramai 155 penerima, kluster ibu tunggal seramai 24 penerima, dan kluster siswa seramai 31 penerima. -PAHANGMEDIA

