Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 16 MAC 2024 : Pemberian Bantuan Awal Persekolahan oleh Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang disifatkan sebagai pembakar semangat untuk lebih belajar dengan bersungguh-sungguh.
Menurut penerima bantuan tersebut, Muhammad Irsyad Hakimi Mohd Helmi, 17, yang merupakan pelajar SMK Felda Sungai Koyan, bantuan yang diterima dapat digunakan bagi melengkapkan peralatan bagi memulakan sesi baharu persekolahan yang bermula tiga hari lepas.

“Saya merasa sangat gembira, dan saya akan gunakan bantuan yang diterima hari ini untuk persekolahan saya.
“Bantuan yang diterima hari ini boleh buat tambah-tambah barang yang tak cukup sebelum ini.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang, Menteri Besar yang bagi bantuan kepada kami hari ini. Ia dapat membakar semangat saya untuk terus belajar,” katanya.
Seramai 73 pelajar SMK Felda Sungai Koyan telah menerima bantuan berkenaan yang merangkumi beg sekolah, botol air, dan alat tulis.
Sementara itu, pesakit stok, Puan Zakiyah Ab. Kader, 50, dari Kampung Keledek yang menerima bantuan Ihya’ Ramadan sebanyak RM300 bagi kategori pesakit kronik melahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diterimanya.

“Rasa gembira, Alhamdulillah. Bolehlah buat tambah-tambah belanja. Saya strok dah empat tahun dan suami hanya kerja kampung sahaja.
“Terima kasih kepada Menteri Besar yang beri bantuan, yang dapat ringankan beban saya sekeluarga,” katanya.
Seramai 537 penerima bantuan Ihya’ Ramadan melibatkan tiga kategori iaitu pesakit kronik seramai 243, anak yatim (167), dan ibu tunggal (127) yang menerima wang tunai dan kurma dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM161,100. -PAHANGMEDIA

