Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM34.5 juta menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 bagi memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat melalui pelbagai bantuan sambutan perayaan, program kemasyarakatan serta inisiatif integrasi sosial di seluruh negeri.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan berkenaan mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya yang menjadi antara kekuatan negeri Pahang.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak RM23 juta disediakan bagi pelbagai inisiatif sambutan perayaan dan bantuan kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada rakyat daripada pelbagai latar belakang.
“Daripada jumlah itu, RM23 juta disediakan bagi inisiatif sambutan perayaan dan bantuan kemasyarakatan, merangkumi RM6 juta bagi Baucar Balik Raya Pahang 1st; RM6 juta bagi Baucar Hari Raya Pahang 1st; RM3 juta bagi Jamuan Mega Raya dan Jamuan Mega Raya Perantau Pahang 1st.
“RM2 juta masing-masing bagi Baucar Tahun Baharu Cina Pahang 1st dan Baucar Deepavali Pahang 1st; RM2 juta bagi Program Berbuka Puasa Perdana Pahang 1st; dan RM1 juta masing-masing bagi Program Semarak Aspirasi Pahang 1st dan Program Berbuka atau Moreh Perantau Pahang 1st,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM11.5 juta bagi memperkukuh interaksi sosial di peringkat akar umbi menerusi pelaksanaan pelbagai program yang melibatkan penyertaan komuniti setempat.
Menurut beliau, sebanyak RM3 juta masing-masing disediakan bagi Program Sukan Rakyat Bersama JPKK Pahang 1st, Bazar Rakyat Pahang 1st dan Program Muhibah Pahang 1st.
“Seterusnya, RM11.5 juta diperuntukkan bagi memperkukuh interaksi sosial di peringkat akar umbi, meliputi RM3 juta masing-masing bagi Program Sukan Rakyat Bersama JPKK Pahang 1st, Bazar Rakyat Pahang 1st dan Program Muhibah Pahang 1st.
“RM2 juta bagi Program Santai Rakyat Bersama KRT Pahang 1st; dan RM500,000 bagi Program Perpaduan Pahang 1st dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional,” katanya.
Pelaksanaan program berkenaan bertujuan menyediakan lebih banyak ruang interaksi antara masyarakat, selain menggalakkan penyertaan komuniti dalam aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan serta semangat muhibah.
Secara keseluruhan, peruntukan RM34.5 juta itu merangkumi RM23 juta bagi sambutan perayaan dan bantuan kemasyarakatan serta RM11.5 juta bagi program interaksi sosial dan perpaduan di peringkat akar umbi.
Inisiatif berkenaan turut memberi penekanan kepada usaha memastikan kepelbagaian kaum, agama dan budaya terus dipelihara sebagai asas keharmonian dan kesejahteraan rakyat Pahang. -PAHANGMEDIA

