Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 17 MAC 2024 : Bazar Ramadan Sungai Koyan menjadi bazar pertama yang menjalankan transaksi perniagaan tanpa tunai di negeri ini bagi memudahkan transaksi pengguna.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, inisiatif hasil kerjasama bersama Agrobank ini juga akan diperluaskan keseluruh negeri secara berperingkat.
“Program cashless ini telah dijalankan di enam daerah membabitkan daerah Temerloh, Lipis, Bentong, Bera, Jerantut, dan Sungai Koyan.
“Bagi bazar ramadan, program cashless ini yang pertama di Sungai Koyan. Dan ia akan diteruskan dan ditambah lagi tetapi bergantung kepada keadaan dan persediaan kedua-dua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Program Cashless Agrobank-Bazar Ramadan di Dataran Perniagaan FELDA Sungai Koyan 1.
Turut hadir, Yang DiPertua Dewan Negeri, YB. Dato’ Sri Mohd Shakar Shamsuddin; Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; dan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.
Menurut beliau, penggunaan bayaran secara tanpa tunai ini dapat membantu memperluaskan aktiviti ekonomi peniaga mahupan orang awam di negeri ini.
“Bazar Ramadan Cashless adalah salah satu langkah proaktif untuk meningkatkan pendedahan kepada peniaga bazar Ramadan kepada transaksi tanpa tunai (cashless) termasuklah kemudahan perkhidmatan DuitNow QR dalam suasana norma baharu ini.
“Saya mengharapkan penggunaan bayaran secara cashless atau tanpa tunai ini akan membantu memperluaskan aktiviti ekonomi peniaga mahupan orang awam melalui platform berteknologi tinggi serta pembayaran tanpa tunai bagi mengurangkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar,” katanya. -PAHANGMEDIA

