Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 16 MAC 2024 : Kerajaan Negeri Pahang sedang memperhalusi cadangan untuk menghantar para pelajar tahfiz di negeri ini untuk menyambung pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ke Timur Tengah pada tahun hadapan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata penghantaran para pelajar berkenaan akan dilaksanakan menerusi Yayasan Pahang namun keputusan lanjut bergantung kepada implikasi kewangan Kerajaan Negeri.
“Jadi nak seimbangkan kita nak hantar pelajar pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Engineering, Matematik supaya anak-anak Pahang yang kembali ke negeri ini seimbang dari segi knowledge.

“Tidaklah kalau (mereka) balik nanti jadi pensyarah, ustaz sahaja tetapi kita nak juga dalam masa yang sama ada pelajar yang jadi engineer, doktor, akauntan .
” Kita nak menjadi sebuah negara dan negeri yang maju, maka kita kena pelbagaikan jurusan mereka,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan dan Sumbangan Ihya Ramadan di Laman Sejahtera Jelai, Felda Sungai Koyan hari ini.
Turut hadir, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Noor; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi; dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Menurut beliau Yayasan Pahang kini menghantar para pelajar tajaannya ke Mesir, Jordan, dan Maghribi dalam jurusan hadis dan Al-Quran.
Sementara itu, beliau dalam majlis berkenaan telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM254,000 melibatkan bantuan kepada golongan memerlukan serta masjid dan surau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga sentiasa mengambil berat berkenaan perkembangan syiar Islam di Negeri Pahang supaya terus hidup subur dan mekar.
“Pada tahun ini Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM162.5 juta bagi memperteguh syiar Islam di Pahang.
“Dan majlis pada hari ini juga, merupakan sebahagian usaha kita untuk memastikan masjid dan surau kita terus diimarahkan dengan majlis-majlis ilmu dan aktiviti keagamaan,” katanya. -PAHANGMEDIA

