Oleh : Nur Saadah Artika
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM31.9 juta menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 bagi memperkukuh perlindungan rakyat daripada ancaman bencana, termasuk pelaksanaan projek tebatan banjir, pencegahan hakisan pantai serta pembangunan Pusat Pemindahan Tetap (PPT) di empat daerah.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM19.5 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek saliran, tebatan banjir dan pencegahan hakisan pantai sebagai langkah mengurangkan risiko serta kesan bencana terhadap penduduk.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri turut menyediakan RM12.4 juta bagi meneruskan pembangunan PPT di Kuantan, Lipis, Pekan dan Temerloh bagi memastikan mangsa bencana mendapat kemudahan perlindungan yang lebih selesa dan selamat.
“Aspek keselamatan dan perlindungan rakyat daripada bencana turut diberi perhatian melalui peruntukan 19.5 juta ringgit bagi projek saliran, tebatan banjir dan pencegahan hakisan pantai.
“Selain itu, 12.4 juta ringgit disediakan untuk meneruskan pembangunan Pusat Pemindahan Tetap (PPT) di Kuantan, Lipis, Pekan dan Temerloh bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan selamat kepada mangsa bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Peruntukan berkenaan memberi tumpuan kepada dua aspek utama, iaitu memperkukuh infrastruktur bagi mengurangkan risiko bencana serta meningkatkan kemudahan penempatan kepada penduduk yang terjejas.
Pembangunan PPT di empat daerah terbabit juga merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana, khususnya dalam menyediakan tempat perlindungan yang lebih teratur kepada mangsa.
Secara keseluruhan, peruntukan RM31.9 juta itu memperlihatkan penekanan terhadap aspek keselamatan rakyat melalui langkah pencegahan bencana dan penyediaan kemudahan perlindungan yang lebih baik. -PAHANGMEDIA

