Oleh : Nur Saadah Artika
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperkukuh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menerusi penambahan 50 pegawai baharu, menjadikan keseluruhan kekuatan pasukan itu seramai 220 orang bagi mempergiat usaha membanteras pencerobohan tanah, penerokaan haram dan kegiatan perlombongan tanpa kebenaran di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan keupayaan penguatkuasaan di lapangan dalam usaha mencapai matlamat mensifarkan pencerobohan tanah di Pahang.
Menurut beliau, tindakan tegas dan langkah pemutihan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri menerusi UPNP melibatkan kegiatan pencerobohan tanah serta penerokaan haram yang mengakibatkan ketirisan hasil dan kerugian keseluruhan dianggarkan melebihi RM1.3 bilion.

“Kerajaan Negeri melalui Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), telah mengambil tindakan tegas serta langkah pemutihan bagi mengekang pencerobohan tanah yang melibatkan kerugian keseluruhan melebihi RM1.3 bilion.
“Pencerobohan tanah kerajaan seluas 40,800 ekar dengan anggaran ketirisan hasil RM391 juta diselesaikan melalui pemberimilikan kepada anak syarikat negeri dan Skim Tanah Rakyat, manakala penerokaan haram Hutan Simpan Kekal seluas 38,600 ekar bagi tanaman durian Musang King dan kelapa sawit mengakibatkan kerugian nilai royalti balak sebanyak RM866.5 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata UPNP turut merekodkan 158 kes tangkapan membabitkan aktiviti perlombongan haram sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh penguatkuasaan terhadap kegiatan yang menjejaskan hasil negeri.

Menurut beliau, kutipan hasil mineral Pahang meningkat sebanyak 124.9 peratus daripada RM33.08 juta pada 2021 kepada RM74.4 juta pada tahun ini.
“UPNP juga telah berjaya membuat 158 kes tangkapan perlombongan haram yang melonjakkan kutipan hasil mineral negeri sebanyak 124.9 peratus daripada 33.08 juta ringgit pada tahun 2021 kepada 74.4 juta ringgit pada tahun ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Negeri komited memperkasakan UPNP menerusi pertambahan anggota bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan berkesan.
“Bagi memperkukuh lagi keupayaan tindakan di lapangan ke arah matlamat mensifarkan pencerobohan tanah di Pahang, Kerajaan Negeri komited memperkasakan UPNP menerusi penambahan 50 orang pegawai baharu, menjadikan jumlah kekuatan keseluruhan seramai 220 orang,” katanya.
Penambahan pegawai berkenaan dijangka mempertingkat keupayaan UPNP dalam membendung pencerobohan tanah kerajaan, melindungi Hutan Simpan Kekal serta menangani perlombongan haram bagi mengurangkan ketirisan hasil negeri. -PAHANGMEDIA

