Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim & Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 4 DISEMBER 2023 : Empat kejayaan utama yang dicapai Kerajaan Negeri sepanjang tempoh lima tahun ini telah mendorong pembangunan berterusan Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antaranya prestasi kutipan hasil pendapatan negeri yang konsisten dan melebihi sasaran yang ditetapkan.
“Sehingga berakhir 3 Disember 2023, kutipan hasil negeri adalah sebanyak RM1.164 bilion berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu RM1.083 bilion dan ini bermakna Kerajaan Negeri sudah berjaya mencapai 107.42 peratus sasaran yang ditetapkan.
“Pencapaian ini adalah amat membanggakan memandangkan Kerajaan Negeri telah berjaya mengekalkan prestasi kutipan hasil negeri melebihi RM1 bilion bagi tempoh dua tahun berturut-turut, sekali gus meletakkan negeri Pahang setanding dengan negeri-negeri maju yang lain seperti Selangor dan Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan Belanjawan Tahun 2024 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, kejayaan menarik pelaburan ke negeri Pahang di mana sejumlah RM16. 441 bilion terdiri daripada RM4.775 bilion pelaburan domestik serta sebanyak RM11.666 bilion pelaburan asing berjaya dicatatkan sehingga 28 November tahun ini.
“Statistik ini membuktikan keyakinan para pelabur terhadap potensi serta kestabilan yang ada di negeri ini, malah KDNK Pahang mencatat 10.8 peratus bagi tahun 2022 mengatasi pertumbuhan 8.7 peratus di peringkat nasional.
“Ekonomi Pahang mencatat pengembangan ketara dengan nilai KDNK RM61.4 bilion, naik daripada tahun 2021 dengan nilai RM55.4 bilion dan ini juga membuktikan Kerajaan Negeri telah berada pada landasan tepat untuk memenuhi aspirasi menjadi negeri maju,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, dua lagi kejayaan utama yang dicatat ialah pengurangan hutang Kerajaan Negeri daripada RM1.03 bilion pada tahun 2022 kepada RM983.49 juta sehingga 30 November 2023 iaitu pengurangan sebanyak 4.44 peratus untuk tahun 2023.
“Suka untuk saya kongsikan bahawa Kerajaan Negeri telah berjaya mengurangkan sebanyak RM2.25 bilion atau 69.59 peratus hutang yang keseluruhannya berjumlah RM3.2 bilion sepanjang tempoh lima tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan keempat ialah penyaluran bantuan dan program kebajikan kepada rakyat berjumlah RM 70 juta sehingga 24 November 2023.
“Daripada jumlah itu, RM39.71 juta telah dibelanjakan untuk tujuan kebajikan segenap lapisan rakyat melalui pemberian insentif Bantuan Prihatin Pahang (BPP) dan Pahang Makmur,” katanya. -PAHANGMEDIA

