Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 4 DISEMBER 2023 : Kerajaan Pahang telah meluluskan dua projek berjumlah RM300,000 bagi menaik taraf dan penyelenggaraan fasiliti pelancongan di Daerah Bentong.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man berkata, bagi perancangan jangka panjang pula, kerajaan akan meneliti dan mempertimbangkan cadangan projek daripada Pejabat Daerah dan Tanah Bentong, Majlis Perbandaran Bentong dan Tourism Pahang.
Menurutnya, cadangan projek ini berpotensi untuk dijalankan di daerah Bentong bagi meningkatkan lagi kedatangan pelancong.
“Daerah Bentong merupakan penyumbang utama kepada jumlah kehadiran pelancong ke Negeri Pahang. Pusat peranginan Genting Highlands telah mencatatkan kehadiran pelancong seramai 5.78 juta orang pada tahun 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ketari, YB. Tuan Su Keong Siong pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, MPB sedang merangka Pelan Strategik MPB yang baru bagi tempoh 10 tahun (2024-2034) di mana salah satu tumpuan utama ialah membangunkan Bentong sebagai sebuah Bandar Eko Pelancongan.
“Melaksanakan projek naiktaraf Taman Sultan Abu Bakar bermula Februari 2024 melibatkan naiktaraf taman, Monsoon Drain, gerai, pencahayaan, landskap, stesen bas hentian raya dan binaan baru bagi surau dan tandas.
“Kolaborasi bersama penggiat pelancongan sekitar Daerah Bentong akan dilaksanakan sebagai salah satu teras utama pelan strategik dengan fokus kerjasama nembuat penawaran pakej-pakej yang menarik,” katanya. – PAHANGMEDIA

