Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 04 DISEMBER 2023 : Kerajaan Pahang hari ini mengumumkan pemberian bonus sebanyak satu bulan setengah dengan minima RM2,000 kepada penjawat awam negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebanyak RM39.6 juta telah diperuntukkan bagi Bantuan Khas Kewangan ini oleh kerajaan negeri.

“Justeru, sebagai menghargai sumbangan dan motivasi kepada mereka untuk meneruskan kerja baik dan meningkatkan pencapaian di masa hadapan, saya mengumumkan suatu Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada anggota perkhidmatan awam Kerajaan Negeri Pahang.
“Untuk itu, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan sebanyak satu bulan setengah dengan minima RM 2,000 kepada setiap penjawat awam di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang.
“Bayaran ini akan dikreditkan pada tahun 2024 yang melibatkan keseluruhan peruntukan sebanyak RM 39.6 juta,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beliau berkata, pemberian bantuan kewangan ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada seluruh penjawat awam di negeri ini.
“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh penjawat awam yang terus menerus memberikan dokongan dan keyakinan dalam melaksanakan amanah ini.
“Sikap profesionalisme dan saling hormat-menghormati menjadi adunan penting dalam memastikan Negeri Pahang kekal maju dan makmur,” katanya. -PAHANGMEDIA

