Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 4 DISEMBER 2023 : Program Pembangunan Peneroka (PPP) merupakan inisiatif bagi meningkatkan pendapatan peneroka melalui aktiviti pertanian dan penternakan.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim berkata, FELDA telah mengenalpasti program tanaman dan gantian yang mampu memberikan hasil tuaian dalam tempoh yang singkat.
“Program tanaman dan gantian ini juga dikenalpasti berpotensi untuk menjana aliran tunai dengan cepat dan konsisten serta memberi manfaat kepada peneroka dalam pelbagai bentuk sama ada pendapatan secara langsung.
“Usaha ini dijalankan melalui kerjasama antara agensi kerajaan dan sektor swasta,” katanya ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Chini, YB. Tuan Mohd Sharim Haji Md Zain pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan peserta Projek Pembangunan Peneroka (PPP) yang terlibat dalam Negeri Pahang adalah seramai 11,379 peserta dengan pecahan mengikut Wilayah adalah FELDA Wilayah Kuantan dengan 7,079 peserta, FELDA Wilayah Mempaga 2,954 peserta dan FELDA Wilayah Jengka seramai 1,349 peserta.
Jelasnya, projek yang ditawarkan kepada peserta terbahagi kepada tiga membabitkan pertanian, penternakan dan akuakultur KOOP/Badan, PLASMA dan Agrobank. – PAHANGMEDIA