Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 4 DISEMBER 2023 : Pembinaan jambatan kedua di Kuantan yang merentasi Sungai Kuantan bagi menghubungkan bandar Kuantan ke Bandar Putra, Tanjung Lumpur (Skop Flyover dari persimpangan Bukit Setongkol ke Kemunting) dijangka siap dibina sepenuhnya pada bulan ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kerja-kerja pembinaan jambatan tersebut mengalami kelewatan 66 hari dengan kemajuan fizikal sehingga September 2023 adalah 96.78 peratus berbanding 100 peratus seperti dijadualkan.
“Kontraktor bagi projek ini telah dikenakan Liquidated Ascertained Damages (LAD) berjumlah RM10,365.65 sehari bermula 16 Oktober 2023. Jumlah kos LAD yang dikenakan sehingga Oktober 2023 adalah RM1,461,133.65 dan baki kerja projek ini dijangka dapat disiapkan pada Disember 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pulau Manis, YB. Tuan Mohamad Rafiq Khan Ahmad Khan pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menjawab persoalan berhubung kesesakan lalulintas di Jalan Taman Tas ke Batu 11 dan lampu isyarat Permatang Badak, Tanah Putih dan Bukit Rangin, beliau berkata, pihak cawangan kejuruteraan Elektrik (CKE), JKR Negeri Pahang telah mengambil inisiatif dengan memanjangkan tetapan masa sehingga 120 saat daripada arah Gambang ke Persimpangan Batu 10 selain memasang kamera pemantau trafik di lokasi berkenaan.
“Kerja-kerja selenggara sistem lampu isyarat di persimpangan Taman Tas juga telah dilaksanakan dan tetapan masa daripada arah Gambang dan arah Kuantan telah ditambah kepada 100 saat dan 80 saat,” katanya.
Jelasnya, bagi pelan jangka panjang pula, pihak JKR melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Pahang telah mengangkat cadangan pembinaan persimpangan bertingkat di lokasi-lokasi persimpangan utama dalam setiap Rolling Plan 1-4 RMK-12 kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi pertimbangan dan kelulusan pihak Kementerian Ekonomi / Kementerian Kewangan Malaysia (MOF). – PAHANGMEDIA