Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 4 DISEMBER 2023 : Kerajaan Pahang berusaha mengatasi tiga projek sakit membabitkan pembinaan masjid di Kampung Desa Selesa Perpat dan Kampung Sungai Puteri di Rompin serta Kampung Tekek di Pulau Tioman.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Pejabat Pembangunan Negeri Pahang (PPNP) telah meminta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) menyediakan Preliminary Detailed Abstract (PDA) berjumlah RM3 juta dan proses tender semula projek akan diteruskan selepas PDA baru diluluskan oleh PPNP.
“Manakala bagi pembinaan Masjid Kampung Sungai Puteri, Rompin pula masih dalam pembinaan meskipun berlaku kelewatan 87 hari dan tarikh siap semasa adalah pada 15 Januari 2023.
“Bagi Masjid Kampung Tekek pula, Kerajaan Pahang telah kemukakan permohonan peruntukan bagi projek ini sebanyak RM30 juta kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Johari Hussain pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beliau berkata, pihak JKR sedang menunggu kelulusan PDA RM3 juta oleh pejabat SDO bagi membolehkan JKR tender semula bagi projek di Kampung Perepat.
Bagi Projek Sungai Puteri pula, projek telah diluluskan peruntukan RM7 juta dengan kemajuan semasa adalah 83 peratus berbanding 99 peratus seperti yang dijadualkan dengan kelewatan 16 peratus.
“Cadangan Pembangunan Masjid Kampung Tekek telah dikemukakan kepada pihak Kementerian melalui ECERDC dengan kos pembangunan sebanyak RM30 juta di bawah RP3, tahun 2023 RMK-12. Projek masih belum diluluskan,” katanya. – PAHANGMEDIA