Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Tourism Pahang mengetengahkan pelancongan gastronomi bagi menarik kedatangan pelancong terutamanya penggemar makanan ke negeri ini.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Cik Leong Yu Man berkata pelancongan dengan konsep berkenaan juga merupakan tarikan kepada kedatangan pelancong bagi merasai perbezaan makanan dan minuman yang ada di 11 daerah di Pahang.
“Biasanya pelancongan di Negeri Pahang orang biasanya teringat tempat-tempat pelancongan yang terkenal tapi sebenarnya pelancongan gastronomi juga merupakan potensi di Negeri Pahang di mana hari ini kita mengadakan Festival Moh Kopi Pahang.

“Dan pada masa yang sama kita dapat mempromosikan makanan-makanan dan minuman special di Negeri Pahang.
“Di mana sebagai contoh di Negeri Pahang kita ada patin tempoyak, Musang King, puding raja yang merupakan makanan yang dapat menarik pengunjung untuk melawat Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Moh Ngopi Festival Kopi Pahang di Old Garage Cafe, Jalan Haji Junid.
Turut hadir, Exco FELDA, Koperasi, dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir. Razali Kassim selaku wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang; Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim; dan Datuk Bandar Kuantan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Razihan Adzharuddin.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga optimis untuk mencapai sasaran 13 juta pelancong datang ke negeri ini pada tahun ini dengan mengambil kira pelbagai jenis konsep pelancongan yang ditawarkan.
“Sehingga September tahun ini kita telah menerima lehih 9 juta pelancong ke Negeri Pahang dan kita berharap sehingga hujung tahun ini kita dapat mencapai sasaran kita. Dan kita yakin kerana berdasarkan statistik dalam tempoh tiga bulan sahaja kita telah ada penambahan dekat 4 juta orang pelancong.
“Orang biasa ingat musim monsun tidak sesuai untuk melancong, tapi sebenarnya ada tempat di Pahang yang tidak terjejas. Sebagai contoh di Cherating, yang mana pada musim monsun ia merupakan waktu bagi peminat surfing.
“Jadi pada masa monsun ini kita mengalu-alukan peminat surfing untuk melawat ke Cherating yang mana kita turut mempunyai Surfing Festival dan Kerajaan Negeri juga menggalakkan promosi produk-produk pelancongan tanpa mengikut musim,” katanya.
Festival Moh Ngopi yang julung kalinya diadakan ini merupakan penganjuran festival kopi terbesar di Negeri Pahang di bekas gudang beras lama dengan konsep vintaj.
Turut diadakan pada festival selama tiga hari lsehingga 19 November ini adalah Battle of Baristas Championship (BOBC) Brewers Cup Throwdown Championship 2023 serta perkongsian berkaitan kopi, acara mencanting batik, persembahan pentas, dan juga gerai jualan. -PAHANGMEDIA

