Oleh : Fara Rosli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 19 NOVEMBER 2023: Pahang merupakan negeri pertama yang memeterai dan memuktamadkan Perjanjian Persefahaman Kerjasama Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang di antara Barisan Nasional (BN) Pahang dan Pakatan Harapan (PH) Pahang.
Pengerusi Barisan Nasional Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selepas setahun penubuhan Kerajaan Perpaduan di Pahang, perjanjian persefahaman ini dimeterai dalam usaha untuk memantapkan lagi kerjasama di antara PH dan BN di negeri ini untuk masa akan datang.
“Ianya lebih kepada untuk kita memastikan supaya persefahaman antara BN dan PH akan menjadi lebih mantap dan memudahkan perbincangan kita untuk kita ‘move on’, apakah tindakan-tindakan kita terutama sekali dalam persefahaman politik untuk maju kehadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Kerjasama Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang di antara Barisan Nasional Pahang dan Pakatan Harapan Pahang di Geo Resort & Hotel Genting Highlands, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Pakatan Harapan Pahang, YAB. Dato’ Seri Amirudin Shari.
Tambahnya lagi, perjanjian persefahaman ini adalah untuk menunjukkan komitmen yang lebih tinggi terhadap Kerajaan Perpaduan di samping untuk dijadikan rujukan dan kesungguhan secara bertulis.
“Ini untuk masa depan, antara kami berdua (BN-PH) tiada masalah tetapi untuk pemimpin-pemimpin akan datang sebab kita mahu persefahaman ini seboleh-bolehnya berkekalan untuk selama-lamanya, jadi sekurang-kurangnya ada rujukan dan bertulis, ini memudahkan untuk masa hadapan.
“Persefahaman ini juga saya percaya akan menjadi model kepada bentuk-bentuk persefahaman lain,” katanya.
Dalam pada itu, YAB. Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, perjanjian dan persefahaman ini merupakan hasil perbincangan oleh kedua-dua pasukan peguam dan pasukan perbincangan kedua-dua parti.
“Sedikit sebanyak kita ikut bagaimana Kerajaan Perpaduan di Putrajaya dan kita cuba seimbangkan dengan situasi di Pahang. Secara asasnya, kita rujuk bagaimana kerjasama di pusat yang hasilkan sebuah kerajaan yang stabil dan mahukan kestabilan itu dapat diwujudkan di negeri Pahang.
“Ini bukan untuk tentukan siapa Menteri Besar, Exco, bentuk kerajaan dan sebagainya sahaja, tetapi bagaimana hala tujunya, bentuk dan apa yang boleh memutuskannya,” kata beliau. – PAHANGMEDIA