Oleh : Fara Rosli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 18 NOVEMBER 2023: Majlis Ulama UMNO (MUU) dilihat amat penting kerana UMNO merupakan satu-satunya parti yang memperjuangkan dasar serta hak orang Melayu dan agama Islam di negara ini.
Naib Presiden UMNO, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau menzahirkan rasa syukur kerana MUU yang diilhamkan oleh Presiden UMNO, YAB Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berjaya ditubuhkan sekali gus dapat membantu parti itu menangkis segala tohmahan yang dilemparkan oleh parti lawan.
“Saya berjanji saya akan bantu Majlis Ulama ini insya-Allah kerana selama ini kita tewas dengan persepsi, fitnah dan sentimen, dengan adanya majlis seperti ini kita boleh kedepan dan boleh jawab tohmahan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemantapan Islam Himpunan Ulama dan Agamawan (HUDA) 2023 yang berlangsung di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) di Janda Baik, hari ini.
Katanya, kekalahan UMNO di Pahang adalah kerana parti PAS bijak memainkan sentimen, fitnah dan persepsi untuk mengelirukan rakyat seterusnya menyebabkan UMNO kehilangan majoriti seperti yang terjadi di Pilihanraya Kecil Pelangai.
“Saya percaya dengan adanya Majlis Ulama dan Agamawan ini, UMNO dengan pimpinan YAB Presiden, PRU16 ini kita akan bangkit, kerana kita nak kekalkan kuasa, nak pastikan agama Islam di bumi Malaysia ini, hak Melayu terpelihara, tidak ada parti lain melainkan UMNO sahajalah,” katanya.
Beliau juga menegaskan agar semua pihak di dalam parti itu perlu bijak mengatur strategi dan memikirkan cara bagaimana untuk memenangi semula hati dan minda rakyat terutamanya orang Melayu seterusnya membendung kekeliruan yang dicipta pihak lawan.
“Kita kena pastikan pada PRU16 nanti UMNO akan menang banyak kerusi dan kita tidak perlu bergabung dengan Kerajaan Perpaduan lagi,” katanya. – PAHANGMEDIA