Oleh : Fara Rosli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 NOVEMBER 2023 : Jelai telah dipilih menjadi lokasi ke-11 bagi pembinaan Kolej Komuniti di Negeri Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan kolej komuniti khususnya di negeri ini adalah satu usaha yang amat baik bagi memberi pendedahan kemahiran dan pembelajaran untuk komuniti setempat.
“Saya berharap kolej komuniti ini bukan berakhir di Jelai sahaja, sebab negeri Pahang ini luas, mungkin kita tidak boleh kira satu parlimen satu kolej, sebab kedudukan geografinya jauh, kita perlu beri kemudahan kepada pelajar-pelajar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti (JPENKK) Negeri Pahang di Hotel Zenith, semalam.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Sri Mohamed Khaled Nordin; Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin dan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak.
Dalam ucapannya, beliau juga memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang akan mengeluarkan sijil kebolehgunaan tanah untuk kelancaran pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini termasuk pembinaan kolej komuniti.
“Kita akan keluarkan sijil kebolehgunaan tanah untuk kita serahkan kepada kerajaan persekutuan untuk dibangunkan.
“Maknanya kalau sijil itu dikeluarkan yang ditandatangani macam kolej komuniti ini, seperti di Jelai contohnya, akan ditandatangani oleh Pegawai Daerah Lipis, kemudian Pejabat Tanah dan Galian (PTG), kemudian Ketua Pengarah PTG, maknanya tanah itu memang ‘clear’, untuk semak sama ada tiada anak sungai, perkuburan Orang Asli dan sebagainya yang membantutkan usaha-usaha pembangunan,” katanya.
Beliau turut menegaskan mengenai kepentingan kolej komuniti kerana ianya dapat memberi ‘peluang kedua’ kepada pelajar yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi.
Tambahnya lagi, kolej komuniti dapat melahirkan generasi yang berkemahiran dan berupaya membantu mereka mendepani cabaran hidup masa kini sekali gus dapat menaiktaraf ekonomi mereka sendiri.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan pelantikan pengerusi JPENKK seramai 10 orang tersebut amat tepat kerana mereka akan mengurus dan mengawalselia kolej komuniti di tempat masing-masing agar kolej komuniti ini dapat digunakan dengan semaksima mungkin selain daripada untuk pembelajaran. – PAHANGMEDIA

