Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
ROMPIN, 16 NOVEMBER 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ini Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mengingatkan penerima rumah Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA ) supaya tidak terfikir untuk menjual atau menyewa rumah yang diberikan tersebut.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertitah, penerima rumah Ru’RASA ini seharusnya bersyukur dan tidak menjual atau menyewakan rumah berkenaan kepada pihak lain.
“Saya menasihatkan jangan sekali-kali nak fikir jual, atau nak sewa. Ini bukanlah matlamat sebenarnya. Kita nak biarlah tinggal situ.

“Kalau nak cantikkan, nak perbesarkan itu hak tuan-tuan dan puan-puan. Tapi nak jual tolong jangan jual. Nak sewakan pun kalau boleh, jangan sewakan. Tinggallah di sini sampai ke tua esok hari. Jadi itulah harapan dan ingatan saya dan apa yang kita harap.
“Saya sebagai raja pemerintah berharap penerima berdoa dan bersyukur segala yang dikurniakan Allah SWT,” titah baginda pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Kampung Janglau di sini hari ini.
Turut hadir, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Duta Besar UAE ke Malaysia, Dr Mubarak Saeed Al Dhaheri; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob dan barisan Exco Kerajaan Pahang.
Seri Paduka Baginda bertitah pemberian rumah Ru’RASA ini merupakan sedikit sumbangan yang baginda dan Kerajaan UAE salurkan kepada rakyat negeri ini.

“Kita harap penghuni-penghuni atau penerima-penerima rumah Ru’RASA ini haruslah bersyukur dan berterima kasih kepada Allah dan berterima kasih kepada Kerajaan UAE dan Kerajaan Pahang.
“Inilah usaha-usaha saya dan Presiden berkenaan memberi sedikit sumbangan kepada rakyat Negeri Pahang. Di mana dia telah pun memberi segala bantuan sewaktu musim banjir yang lalu melalui bekalan pasukan UAE Crescent, di mana telah banyak memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sukacita dengan penganjuran program penyerahan kunci rumah kepada penerima Ru’ RASA kerana baginda dapat bertemu dan mendengar perasaan penerima.
“Di sini saya merasa berpuas hati apabila ada program seumpama ini kerana dengan adanya program ini, saya dapat bertemu, dapat mendengar dan dapat merasai macam mana rasanya penghuni rumah ini mendapat sebuah rumah.
“Saya tahu macam mana perasaannya sekarang. Bukan sekarang sahaja, dari dulu lagi saya dah tahu. Tapi kita nak pelbagaikan lagi rumah-rumah untuk rakyat khususnya melalui Kerajaan Negeri dengan mengadakan rumah PPRT, Rumah Makmur dan Prima Pahang dan sebagainya,” titah baginda.
Pada majlis berkenaan Seri Paduka Baginda berkenan bercemar duli mengurniakan tujuh kunci rumah Ru’RASA kepada penerima di daerah ini melibatkan dua buah di Kampung Janglau; dan masing-masing sebuah di Bukit Ibam, Kampung Lubok Batu, Kampung Meripoh, Kampung Desa Perdana, dan Bandar Melati. -PAHANGMEDIA

