Oleh : Fara Rosli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 OKTOBER 2023 : Pahang merupakan negeri pertama yang menganjurkan himpunan besar-besaran bagi menunjukkan sokongan kepada Palestin yang teruk dibedil oleh rejim Zionis.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sejak dari dahulu lagi Pahang tidak pernah jemu membantu Palestin yang ditindas dari tahun 1948 sehingga hari ini.
“Dulu kita bagi RM700,000, hari ini kita lancar lagi tabung untuk Palestin, Kerajaan Negeri Pahang akan beri sebanyak RM100,000,” katanya ketika ditemui pada Himpunan Pahang4Palestine, di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini hari ini.

Turut hadir ialah YB Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin; Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal dan barisan Exco Kerajaan Pahang.
Kira-kira 10,000 peserta membanjiri dataran MBK sejak jam 8 pagi tadi bagi menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin.
Orang ramai dari pelbagai latar belakang melambai sepanduk dengan mesej supaya konflik yang mengorbankan hampir 8,000 rakyat Palestin termasuk kanak-kanak ditamatkan segera.
Terbaru, selain daripada bekalan elektrik, air dan bekalan makanan yang telah diputuskan di Gaza, talian internet juga telah lumpuh menyebabkan berita dan perkembangan dari kawasan tersebut tidak dapat disalurkan ke dunia luar.

“Pagi tadi bekalan internet telah diputuskan, supaya mereka (Zionis) boleh bergerak berbuat apa saja di bumi Palestin, seharusnya kita lawan,” katanya.
Beliau juga turut meluahkan rasa kecewa terhadap kegagalan pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menangai krisis yang sedang berlaku itu yang melibatkan angka kematian hampir mencecah 8,000 orang.
“Ada negara yang menyarankan supaya gencatan senjata dilakukan tetapi ianya tidak berlaku, oleh itu saya fikir PBB ini perlu dirombak dan perlu dikaji semula untuk keamanan dunia,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau juga menzahirkan rasa bangga terhadap rakyat di negeri ini yang prihatin dan menunjukkan sokongan luar biasa dengan menghadiri himpunan tersebut yang julung kali diadakan.
“Ini menunjukkan kita bersolidariti iaitu di mana kita menunjukkan perasaan kita kepada Israel kerana mereka menzalimi membunuh rakyat Palestin termasuk kanak-kanak, warga emas dan sebagainya, dan menunjukkan rasa simpati kita.
“Kita menyeru pada dunia supaya jangan berhenti untuk memastikan gencatan senjata berlaku di Palestin,” katanya lagi. – PAHANGMEDIA

