Oleh : Fara Rosli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 OKTOBER 2023 : Festival Belia Pahang yang diadakan hari ini sempena sambutan Hari Belia Negara mendapat sambutan yang luar biasa dalam kalangan golongan belia di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keterlibatan para belia dari setiap daerah di negeri Pahang pada festival kali ini sangat memberansangkan dan ianya merupakan sesuatu yang patut dipuji.

“Kita dapat melihat produk-produk tempatan secara dekat dan dalam masa yang sama kita berinteraksi, kalau tidak kita mungkin (berinteraksi) secara alam maya sahaja, tidak sama dengan cara face to face,” katanya ketika sidang media di Festival Belia Pahang di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini, hari ini.
Turut hadir Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, YB Fadzli Mohamad Kamal, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Encik Mu’azamir Haji Ali; Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Encik Mohd Azhari Mohammad; serta Presiden Majlis Belia Malaysia, Encik Mohd Izzat Hafifi Dato’ Haji Abd Hamid.

Sementara itu, YB Fadzli berkata, Festival Belia Pahang amat wajar dipilih menjadi platform untuk menyuarakan suara Pahang kepada dunia terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Isreal.
“Paling penting kita nak anak muda dipupuk kesedaran dan kefahaman tentang perang terhadap Palestin ini,” katanya. – PAHANGMEDIA.

